Bank tentukan lanjutan moratorium: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyerahkan kepada institusi perbankan sama ada untuk melanjutkan tempoh moratorium yang bakal berakhir September depan ataupun sebaliknya.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemberian moratorium secara automatik yang diumumkan Bank Negara pada 1 April lalu merupakan inisiatif pihak bank dalam membantu pelanggan mereka yang terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, pihak Kementerian Kewangan juga mendapat banyak permintaan agar tempoh enam bulan moratorium itu dapat dilanjutkan khususnya dalam kalangan mereka yang masih memerlukan tempoh masa bagi membayar balik pinjaman.

“Secara peribadinya, saya berpendapat kita perlu menolong mereka yang memerlukan pertolongan kerana pemberian moratorium yang dibuat sebelum ini adalah untuk menolong semua orang dan kemudahan itu dinikmati oleh semua pihak secara automatik.

“Jadi apa yang terbaik adalah kita perlu memberi fokus kepada golongan sasar yang memerlukan pertolongan. Itu adalah pandangan peribadi saya dan kita tidak boleh paksa pihak bank namun kerajaan akan sentiasa berurusan dengan pihak bank berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan rasmi ke Kumpulan Prasarana di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Mac lalu, Bank Negara membenarkan pelanggan perbankan termasuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka termasuk gadai janji dan sewa beli bagi tempoh enam bulan berkuat kuasa 1 April lalu.

Inisiatif itu merupakan langkah tambahan bagi mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang dijangka terkesan ekoran wabak Covid-19.

Kelmarin, Malayan Banking Bhd (Maybank) memaklumkan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh moratorium pinjaman yang akan berakhir September ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menasihati orang ramai agar membuat persediaan lebih awal dengan berjumpa pihak bank bagi membincangkan kaedah pembayaran balik atau penstrukturan semula pinjaman mereka.

“Jadi perancangan masa depan adalah penting dan jangan tunggu hingga terlalu lewat terutamanya kepada mereka yang hilang pekerjaan dan juga gaji mereka dikurangkan.

“Malah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga bersedia untuk membantu peminjam-peminjam dalam menguruskan pembayaran hutang mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!