Bantu Bayern Munich juarai Bundesliga kali kelapan
Pengerusi Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge melabelkan penyerangnya, Robert Lewandowski yang juga penjaring terbanyak Bundesliga muism 2019/20 sebagai penyerang terbaik dunia ketika ini.
Rummenigge berkata, label berkenaan dilihat bertepatan diberikan kepada pemain Poland itu berikutan prestasi cemerlangnya termasuk menyempurnakan sepakan penalti ketika menewaskan Wolfsburg 4-0 bagi mengesahkan kejuaraan Bundesliga kali kelapan berturut-turut buat Bayern.
Menurut Rummenigge, jaringan penalti itu sekali gus meletakkan Lewandowski selaku penjaring terbanyak Bundesliga dengan 34 gol; lebih enam gol daripada pemain RB Leipzig, Timo Werner.
"Menjaringkan 34 gol dalam semusim di Bundesliga adalah satu pencapaian yang luar biasa. Hanya 'Der Bomber' (Gerd Muller) yang berbuat demikian.
"Oleh itu, saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Robert Lewandowski. Dia kini adalah penyerang terbaik di dunia," katanya.
Untuk rekod juga, ia adalah kali kelima bekas pemain Borussia Dortmund itu menamatkan saingan Bundesliga selaku penjaring terbanyak dan dia kini sebaris dengan pemain lagenda Jerman, Gerd Muller yang juga pernah merekodkan 34 gol dalam satu musim di Bundesliga selain bekas bintang Schalke, Klaus Fischer.
Sementara itu Lewandowski berkata, dia mungkin menjaringkan lebih banyak gol jika beraksi dalam kesemua 34 perlawanan Bundesliga musim ini.
Bagaimanapun katanya, dia tetap berpuas hati dengan pencapaian 34 gol jaringannya setakat ini dan berharap untuk menjaringkan lebih banyak gol selepas ini.
"Sebenarnya saya rasa 'ralat' juga kerana terlepas untuk beraksi dalam tiga perlawanan berkenaan. Walaupun begitu, saya tetap berpuas hati dengan 34 gol jaringan saya itu.
"Namun, kredit juga perlu diberikan kepada rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu saya dan juga kepada Bayern Munich sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!