PLUS cadang pasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Plus Malaysia Berhad (PLUS) akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk memasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang sebagai langkah mengurangkan kemalangan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, ini kerana jambatan itu hanya dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aliran trafik.

"Namun susulan kemalangan yang berlaku baru-baru ini, kita akan mencadangkan kepada kerajaan untuk memasang kamera had laju di kawasan itu termasuk di beberapa lokasi lain di enam lebuh raya kendalian PLUS

“Cadangan terbabit akan diserahkan kepada kerajaan selepas laporan penuh siasatan tragedi kemalangan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jambatan Pulau Pinang diperolehi," katanya

pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat Ke-14 Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2019 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah utara, di sini, hari ini

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya jug akan mengkaji keperluan untuk mengurangkan kadar had laju dan ketinggian tembok penghadang di jambatan terbabit bergantung keperluan.

Menurutnya, had laju di jambatan itu ketika ini 80 kilometer sejam dan tembok berkenaan juga mengikut spesifikasi antarabangsa British Standard (BS 5400) yang berketinggian satu meter.

"Kalau ikut statitik kemalangan yang berlaku di jambatan itu menurun 54 peratus iaitu enam kes pada tahun lalu berbanding 13 kes pada 2017.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes kemalangan biasa pula, 332 kes direkodkan pada tahun lalu berbanding 345 kes pada tahun sebelumnya, iaitu pengurangan sebanyak empat peratus," katanya.

Ahad lalu, tular video kemalangan maut membabitkan kenderaan SUV Mazda CX-5 dan Toyata Vios di KM4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai.

Kejadian jam 2.50 pagi itu mengakibatkan, Moey Yun Peng, 20, iaitu pemandu SUV Mazda CX-5 putih tercampak ke dalam laut.

Berikutan itu, satu operasi mencari dan menyelamat dilakukan pihak berkuasa sebelum kenderaan terbabit ditemui di 15 meter dari tiang 34 jambatan itu pada jam 4 petang.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengerusi PLUS Datuk Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Azisman Alias.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!