'Tikus bermahajarela di kawasan perumahan'
PUCHONG - Rumah dihurungi lalat, terpaksa hidu bau busuk selain haiwan pembawa penyakit termasuk tikus bermaharajalela di sekitar kawasan rumah.
Itu masalah terpaksa dihadapi penduduk di Lorong 3H, Perumahan PKNS, Batu 13 1/2, Kampung Pasir di sini sejak beberapa bulan lalu.
Penduduk mendakwa ada sampah pukal yang sudah bertahun tidak dikutip dan lebih dikesalkan, sampah domestik bersepah di sekeliling tong sampah terletak kurang 50 meter dari jarak rumah mereka.
Penduduk, Aishah Mohd Rashid, 41, berkata, isu tersebut sudah diadukan kepada pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Dia dimaklumkan pengurusan sampah kini di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan aduan kemudian disalurkan kepada pihak itu.
Bagaimanapun, Aishah mendakwa dia kecewa meskipun aduan sudah dibuat namun sampah tidak dibersihkan dengan sempurna.
“Selepas aduan dibuat, memang ada pekerja datang ambil sampah tapi mereka tak bersihkan kawasan sekeliling.
“Saya dan beberapa jiran terpaksa hadap benda ni berbulan lamanya dan lebih teruk lagi bila cuti lama baru ni, sampah langsung tak diangkat.
"Rupanya bukan di sini saja, tempat pembuangan sampah berdekatan juga penuh dengan isinya,” katanya.
Aishah berkata, dia berharap lokasi pembuangan sampah itu dipindahkan ke tempat lain yang lebih sesuai.
Katanya, penduduk di kawasan itu ramai yang sudah berusia dan sakit.
“Mak saya sendiri lumpuh dan berkerusi roda dalam rumah terpaksa tengok tikus bermaharajalela keluar masuk rumah dari tong sampah itu.
“Saya minta jasa baik pihak berkenaan pindahkan tong sampah tersebut ke tempat lain, ia terlalu rapat dengan rumah kami...kami tak sanggup lagi hidu bau busuk,” katanya.
Sementara itu, Adun Kinrara, Ng Sze Han yang dihubungi memberitahu, sampah di kawasan itu sudah dibersihkan beberapa hari lalu.
Hasil pemerhatian katanya, kebanyakan sampah dibuang penduduk di pangsapuri berhampiran.
“KDEB akan tukar tong sampah baharu, Jawatankuasa Penduduk (JKP) akan cari mereka yang boleh bantu pantau aktiviti pembuangan sampah di situ.
"Lokasi tempat buangan sampah kekal di situ tapi pemantuan akan diteruskan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!