Usul Muhyiddin tamatkan lantikan Speaker keputusan berprinsip
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka memfailkan usul di Dewan Rakyat untuk menamatkan lantikan Speaker dan Timbalan Speakernya sebagai satu keputusan berprinsip.
Wan Ahmad berkata, keputusan menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof selaku Speaker dan Timbalannya, Nga Kor Ming itu adalah tepat dan wajar dilakukan.
Katanya, setiap kerajaan yang baharu dan sah di sisi Perlembagaan berhak untuk mencadangkan kepada Mesyuarat Dewan Rakyat seorang calon untuk mengisi jawatan Speaker yang baharu.
"Ini adalah wajar dan perlu demi kelancaran perjalanan urusan Dewan Rakyat tanpa syak wasangka gangguan sentimen politik di pihak kerusi yang mempengerusikan apa-apa mesyuarat akan datang.
"Bagi kerajaan yang baharu, langkah ini tepat dan perlu untuk menjamin kelangsungan perancangan dasar-dasar baharu serta kebaikan masa depan perjalanan pemerintahan sesebuah negara," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Media hari ini melaporkan Mesyuarat Dewan Rakyat yang akan bersambung pada 13 Julai dijangka dramatik kerana Muhyiddin akan mengusulkan Speaker dan Timbalan Speaker yang baharu untuk menggantikan Mohamad Ariff dan Kor Ming.
Seorang lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menyokong Perikatan Nasional (PN) pula akan dikekalkan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad menegaskan, langkah yang dibuat Muhyiddin itu keputusan yang tepat kerana Mohamad Arif adalah Speaker yang dipilih khas atas perkiraan sentimen politik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang sekarang merupakan kumpulan pembangkang di Dewan Rakyat.
Oleh demikian, tambah beliau, untuk memastikan tidak berbangkit sebarang isu oleh pihak kerajaan bahawa apa-apa keputusan Speaker nanti boleh dianggap berpihak atau dipengaruhi sentimen politik, justeru perkara yang terbaik ialah menukarkan Speaker.
"Seorang Speaker yang baharu akan membantu meningkatkan keyakinan Ahli-ahli Mesyuarat Dewan Rakyat tentang keadilan pengerusi dalam membuat apa-apa keputusan atas apa-apa perkara atau perbahasan yang berbangkit.
"Mesyuarat dan perbahasan di dalam Dewan Rakyat akan datang akan lebih baik jika diuruskan di bawah pengawasan seorang Speaker yang baharu," katanya
Katanya, semua ahli Dewan Rakyat juga tidak wajar mempertikaikan siapa yang akan dilantik selepas ini sebagai pengganti Speaker dan Timbalan Speaker kerana pelantikan mereka nanti diluluskan oleh undi majoriti ahli Dewan Rakyat melalui suatu sidang Parlimen rasmi yang sah di sisi undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!