Jangan baca tajuk berita sahaja

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SEBAGAI pemberita, tidak dinafikan setiap isu yang ditulis sudah tentu menerima maklum balas bercanggah atau senada dengan isu yang dipaparkan.

Mereka yang bersetuju akan menekan butang suka atau like, jika tidak bersetuju pula dengan lantang melontarkan buah pandangan tersendiri atau menentang hebat menerusi gerak jari jemari di papan kekunci keyboard.

Dalam dunia kewartawanan, warga siber atau sinonim dengan netizen (net citizen) turut memberi pengaruh dalam sesuatu isu sekaligus menggambarkan suara majoriti atau minoriti bagi sesuatu berita yang dihidangkan.

Bagi penulis, kecaman atau percanggahan pendapat yang tidak senada dengan warga siber sudah menjadi rutin umpama ‘makanan’ harian. Apa yang pasti, setiap pandangan yang dilontarkan perlu dihargai.

Bagaimanapun, ramai antara kita yang gemar membuat persepsi berdasarkan tajuk berita yang dibaca tanpa memberi peluang kepada huraian lengkap yang terletak pada isi kandungannya.

Menurut Pensyarah Kaunseling, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Ruhani Mat Min, secara semula jadi, individu sentiasa ingin melakukan atau memilih perkara yang mendatangkan keseronokan pada dirinya serta mengelakkan daripada perkara yang tidak selesa.

“Contohnya, seseorang individu akan memilih untuk membuat tempahan makanan secara atas talian kerana ia lebih mudah.

“Sama juga dengan maklumat atau berita yang dibaca, setiap individu lebih suka untuk membaca perkara atau maklumat yang mendatangkan perasaan selesa dan seronok pada dirinya,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Pemahaman

Berdasarkan temu bual bersama Profesor Madya Dr Ruhani, beliau berkata, dalam konteks keinginan semula jadi ke arah perkara atau suasana yang menyelesakan serta sifat keterujaan individu, sifat tanggungjawab diri adalah penting.

“Setiap individu mempunyai tanggungjawab apabila mendapat sesuatu berita. Pertama, apabila membaca berita di media arus perdana, adalah perlu untuk membaca berita berkenaan secara keseluruhan, agar ia dapat difahami dengan jelas. Pemahaman yang jelas penting dan elakkan daripada andaian dan spekulasi.

“Kedua, sekiranya individu memperoleh berita daripada media sosial, sekiranya sumber penyampai berita berkenaan dikenali, individu yang menerima berita berkenaan boleh menyemak kesahihan berita tersebut daripada penyampainya atau meminta penyampai berkenaan menyemak berita tersebut daripada sumber yang pasti,” jelasnya.

Maksudnya, setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk mengelakkan sesuatu berita, khususnya berita tidak benar, daripada terus disebarkan.

Setiap berita sama ada melibatkan media arus perdana atau media sosial boleh membantu ahli masyarakat berkenaan dengan informasi terkini sekiranya setiap orang bertanggungjawab terhadap maklumat yang dibaca dan disebarkan.

Media arus perdana dan media sosial merupakan sumber saluran pelbagai berita yang boleh diperoleh oleh pembaca di mana media arus perdana memaparkan berita yang berlaku dengan ketepatan berita tinggi kerana telah disemak sebelum dihebahkan kepada umum.

Ada juga berita yang tepat dan sumber yang sahih juga boleh diperoleh daripada media sosial namun ada kemungkinan ia bersifat pandangan peribadi yang tidak melibatkan semakan sebelum dihebahkan kepada pembaca.

Sifat individu akan sentiasa teruja apabila mendapat sesuatu berita yang sensasi. Dengan sifat keterujaan itu, apabila individu mendapat berita daripada media arus perdana yang mempunyai tahap ketepatan yang tinggi, individu berkenaan akan cuba untuk memahami serta mengolahkan kefahamannya mengikut keadaan atau suasana yang diingini.

Justeru, pesanan penulis buat diri sendiri dan buat renungan bersama, tidak rugi menjadi warga siber yang bijak dalam memilih sumber berita yang sahih. Juga penting, jangan hanya baca tajuk berita kerana ia juga dapat membawa kepada salah tanggapan dan penyebaran berita palsu!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!