Lelaki lemas, rakan hilang ketika mandi laut
LUMUT - Seorang lelaki ditemui lemas manakala rakannya masih hilang ketika mandi di Pantai Teluk Batik di sini petang tadi.
Mangsa, S Emmanuel Raj, 21, ditemui terapung kira-kira jam 6.55 petang manakala R Vigneis, 22, masih belum ditemui.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Manjung, Abdul Hazhar Ismail berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 petang.
“Ketika operasi digerakkan, mangsa pertama ditemui terapung dibawa arus ombak sebelum anggota bersama orang awam membantu membawa mangsa ke tepi pantai.
“Mangsa telah diberi bantuan pernafasan oleh pasukan perubatan sebelum dia disahkan meninggal dunia pada jam 7.20 petang,” katanya.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa giat dijalankan melibatkan 59 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi
“Lokasi pencarian dijalankan dalam lingkungan 50 meter dari pantai.
“Operasi melibatkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Pulau Pangkor, polis, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Sukarelawan (Rela),” katanya.
Abdul Hazhar berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!