Wanita kesepian lebih kerap jadi mangsa penipuan
SHAH ALAM – Wanita yang kesepian sering menjadi mangsa penipuan ekoran mudah terpedaya dengan lontaran ayat-ayat ‘kasih sayang’ yang digunakan individu tidak bertanggungjawab.
Pakar Motivasi dan Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh berkata, bagaimanapun, jumlah itu hanya segelintir kerana ada juga wanita yang kuat pendirian dan tidak mudah terpedaya dengan janji manis lelaki tidak bertanggungjawab.
“Kita tidak boleh pukul rata bahawa wanita kesepian mudah terpengaruh kerana masing-masing punya personaliti dan juga karekter yang akan mempengaruhi tindakan.
“Saya banyak kendalikan kes sebegini dan ada sesetengah wanita seperti janda tapi dia ada 'stand' (pendirian) yang kuat dan tidak mudah terpengaruh,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Semalam, disebabkan cinta, seorang janda sanggup meminjamkan wang simpanan keluarganya bernilai RM1.15 juta kepada seorang lelaki yang dikenali menerusi aplikasi 'Tagged'.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani, wanita berusia 57 tahun itu bagaimanapun hanya menyedari ditipu selepas membuat sebanyak 65 transaksi sejak 23 Oktober tahun lalu sehingga 31 Mei lalu ke akaun tidak dikenali.
Mengulas lanjut berhubung perkara itu, beliau berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu akan melakukan perancangan rapi untuk ‘menjerat’ mangsa.
“Pada pertemuan pertama mereka tidak akan semudahnya mengeluarkan ayat untuk meminjam duit atau mengajak untuk membuat pelaburan sebaliknya modus operandinya secara berfasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerana cinta, simpanan RM1.15 juta lesap
“Fasa demi fasa bermula dengan ayat bertanya khabar, ayat kasih sayang dan apabila kepercayaan sudah mula tertanam dalam diri mangsa baharulah mereka akan menuturkan ayat-ayat untuk meminjam duit,” katanya.
Apabila ditanya kenapa ramai wanita daripada golongan profesional sering menjadi mangsa, beliau menjelaskan, kebanyakan wanita berkerjaya dan bergaji besar lebih gemar bersendiri dan tidak mempunyai ramai kawan.
Menurutnya, pemangsa pastinya akan mencari mangsa yang dapat memberi keuntungan kepada mereka dan wanita dalam kalangan profesional menjadi pilihan utama mereka.
“Mereka susah nak percaya individu sekeliling dan susah untuk ‘verbal communication’.
"Maaf cakaplah sebenarnya dalam masyarakat kita ini ramai yang ada ‘split personality’, tidak bergaul dengan masyarakat dan lebih berminat dengan alam maya,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!