APMM tahan dua bot 'hantu' Vietnam

Dua bot 'hantu' milik nelayan Vietnam ditahan APMM semalam. Foto: Ihsan APMM Terengganu
Dua bot 'hantu' milik nelayan Vietnam ditahan APMM semalam. Foto: Ihsan APMM Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua buah bot nelayan 'hantu' bersama 27 nelayan Vietnam di dua lokasi berasingan iaitu antara 100 dan 101 batu nautika dari Kuala Terengganu semalam.

Penahanan kedua-dua bot membabitkan rampasan bernilai hampir RM2 juta itu ketika rondaan Op Khas Naga Barat.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua bot itu dipanggil bot 'hantu' kerana memiliki nombor pendaftaran yang mencurigakan selain nombor pendaftaran juga sudah dipadam.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua bot mendapati terdapat 27 nelayan Vietnam dan kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

"Semua nelayan termasuk tekong yang berumur antara 18 hingga 50 tahun ditahan bersama hasil tangkapan laut, diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dengan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM 2 juta.

"Dua bot bersama semua nelayan yang ditahan dibawa ke jeti APMM Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, tindakan menangkap dan menahan bot nelayan asing dikuatkuasakan semula APMM sebagaimana pengumuman yang dibuat Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som pada 24 Jun lalu.

Katanya, tindakan itu diambil berikutan pengusiran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak memberi kesan kepada nelayan asing.

Artikel Berkaitan:

"APMM Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang hanya akan merugikan negara.

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim," katanya.

Sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara boleh dibuat dengan menghubungi talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!