Kerajaan digesa henti eksport pasir sungai
GEORGETOWN- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengenakan larangan ke atas pengeksportan pasir sungai dengan menarik semula Permit Kelulusan (AP) yang diberikan kepada pemegangnya.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, jika perkara itu tidak diambil tindakan segera, pihaknya bimbang ia akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan manusia.
Menurutnya, kadar pengambilan pasir dari sungai akan melebihi kadar pengisian semula pasir secara semula jadi.
"Laporan media menyatakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah mengeluarkan 11 AP untuk membolehkan pengeksportan pasir sungai dan mineral lain ke Brunei; China; Taiwan; Korea Selatan; Vietnam; Hong Kong; India, Japan dan Maldives. Pada 2018, eksport pasir dari Malaysia menurun yang mana, Singapura adalah pengimport terbesar dengan 94.7 peratus pasir dari Malaysia.
"Bagaimanapun, Malaysia memutuskan untuk melarang eksport pasir laut ke Singapura. Namun, pasir sungai masih dieksport melalui pemberian AP. Ia amat menyedihkan apabila melihat sumber asli terus dieksploitasi selain aspek pemeliharaan alam sekitar diabaikan dalam mengejar keuntungan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, perlombongan pasir sungai didapati akan memberi kesan kepada alam sekitar antaranya hakisan di hilir selain menyebabkan kerosakan infrastruktur; harta benda awam, kehilangan tanah ladang dan rizab sungai.
"Semua kesan tersebut akan berlaku jika perkara ini tidak dibendung. Alam sekitar akan musnah akibat daripada hakisan tebing sungai. Selain itu, habitat akuatik juga akan terjejas kerana gangguan pada kawasan pembiakan; nurseri, habitat kerang dan habitat riparian.
"Pengambilan pasir dari sungai akan mengubah aliran dan hidraulik sungai, menyebabkan kemerosotan kualiti air kerana sungai akan menjadi lebih keruh. Selain kesan lain terhadap ekosistem sungai, perlombongan pasir juga menyebabkan penyebaran semula bahan organik dan toksik, seterusnya menurunkan kualiti air," katanya.
Mohideen berkata, pihaknya juga mendapati banyak masalah pentadbiran dan penguatkuasaan yang berkaitan dengan perlombongan pasir antaranya syarat atau keperluan teknikal kerap dilanggar oleh pelombong pasir.
"Terdapat juga masalah pemantauan untuk memeriksa sama ada pelombong pasir mematuhi syarat-syarat teknikal, atau mengekstrak pasir melebihi isipadu yang dibenarkan. Ada juga isu perlombongan pasir haram dan pencurian pasir termasuk dengan naungan jenayah terancang.
"Peningkatan permintaan tempatan untuk pasir sungai dan pengeluaran AP untuk eksport pasir sudah pasti akan membawa kepada lebih banyak masalah dan kemusnahan alam. Seluruh dunia perlu mengurangkan penggunaan pasir, mengelakkan penggunaan pasir asli dalam projek pembinaan dan menghentikan penggunaan boros contohnya untuk penambakan dan projek mewah," katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu sedar bahawa pasir adalah sumber yang terhad yang mana, dunia kini semakin kekurangan pasir dan banyak negara telah mula melarang pengeksportan pasir.
Tambahnya, Malaysia harus melakukan perkara yang sama dan melindungi sumber asli negara yang berharga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!