Sanggup tumbuk bapa kerana kain buruk
KEPALA BATAS - Hanya kerana kain buruk, seorang anak sanggup menumbuk kepala bapanya di sebuah rumah di Pengkalan Bongor di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 7 petang itu, mangsa yang berusia 73 tahun mengalami sakit dan pening kepala selepas ditumbuk di bahagian dahinya.
Menurutnya, suspek, 37 turut memaki hamun mangsa apabila pertanyaannya mengenai kain buruk miliknya tidak diketahui mangsa.
"Ketika mangsa berada di rumahnya, suspek bertanya mengenai kain buruknya, namun mangsa menjawab tidak tahu. Akibat daripada itu, suspek berang lalu bertindak agresif dengan menumbuk bahagian dahi mangsa menyebabkan dia berasa sakit, pening kepala dan hampir terjatuh.
"Suspek juga mengugut akan memukul mangsa sekiranya membuat laporan polis. Kejadian tersebut turut disaksi dan didengari isteri mangsa yang berada di rumah berkenaan. Suspek telah melarikan diri selepas kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, suspek tidak berpuas hati apabila gagal mencari kain buruknya dan mula menuduh orang lain yang berada di rumah berkenaan telah membuang atau menyembunyikan kain tersebut.
"Suspek yang merupakan penganggur telah berjaya ditahan semalam di rumahnya yang terletak berdekatan rumah mangsa. Semakan mendapati, dia mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah. Suspek dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi ini untuk mendapat perintah reman.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!