PKR pecat 5 ahli termasuk Ketua Wanita, Haniza Talha
KUALA LUMPUR - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya semalam, bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim menjelaskan, empat yang lain ialah Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg Acheh, Zulkifli Ibrahim; Ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid; dan Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria.
Sementara itu, seorang ahlinya, Ahmad Raj Abdullah pula digantung keanggotaan kerana terlibat dalam serangan fizikal terhadap Naib Presiden Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang pada 1 Mac lepas.
“Keanggotaannya digantung sehingga selesai siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu tiga lagi pemimpin parti itu diberi amaran iaitu Tian Chua; Pengarah Komunikasi Wanita Pulau Pinang Carolyn Khor; dan ADUN Machap Jaya, Ginie Lim. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!