Baucar palsu: Bekas kakitangan RTM berdepan 20 pertuduhan
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pembantu tadbir kewangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap 20 pertuduhan memperdayakan majikan berhubung bayaran baucar palsu rancangan televisyen berjumlah lebih RM44,000, sejak enam tahun lalu.
Tertuduh, Munawer Hasan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-20, tertuduh pada 9 Oktober 2014 hingga 24 Februari 2016 didakwa telah menggunakan 20 set baucar berjumlah RM44,000 dengan bayaran antara RM1,200 hingga RM 2,500 ke atas empat individu.
Ia berhubung bayaran 'Piecemal' dengan niat memperdayakan majikan sebagai pengacara lokasi, suara latar dan pakar rujuk yang mana program tersebut tidak pernah dilaksanakan di RTM.
Antara program itu termasuk Episod PD, Gunung Stong PD, Refleksi, Pakar Rujuk PD, Episod P Tinggi dan P Pemanggil.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Unit Akaun RTM Brickfields, Kuala Lumpur yang bertindak sebagai ejen Kerajaan Malaysia iaitu Pembantu Tadbir Kewangan W17, dengan niat memperdayakan majikannya dengan butiran palsu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama iaitu maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM13,000 bagi kesemua pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah memandangkan dia merupakan penanggung tunggal keluarga dan menyara isteri yang kini sarat mengandungkan anak keempat serta tiga anak yang masih kecil.
Mahkamah membenarkan jaminan RM13,000 dan menetapkan 14 Julai sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen dengan syarat tambahan tertuduh perlu hadir ke Pejabat SPRM Putrajaya setiap sebulan sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!