'Saya bukan ahli politik, hanya petani'
CAMERON HIGHLANDS - Calon Bebas, Wong Seng Yee akui kelemahannya untuk menjawab isu-isu politik.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan cuba sebaik mungkin apabila tampil dalam Debat Perdana Calon-calon PRK Cameron Highlands anjuran Bersih 2.0, malam esok.
"Saya bersiap sedia 100 peratus kecuali pertanyaan tentang isu politik. Saya belum buat persiapan kerana kerana saya bukan seorang ahli politik, saya petani saja.
[ARTIKEL BERKAITAN: Saya bersih!, adakah mereka bersih?, tanya calon BN]
"Tetapi saya akan cuba sedaya upaya menjawab segala soalan politik," katanya kepada media selepas meninjau proses pengundian awal di Bilik Maklumat Balai Polis Brinchang, di sini, hari ini.
Selain Seng Yee, debat itu akan turut menampilkan calon PH, Manogaran dan seorang lagi calon Bebas, Sallehuddin Ab Talib.
Sementara, calon BN, Ramli Mohd Nor tidak menyatakan persetujuan.
Seng Yee turut memuji penganjuran debat tersebut yang membolehkan setiap calon mengemukakan idea masing-masing.
"Ia satu platform yang baik terutamanya calon Bebas dan calon parti di mana kami dapat berbahas dengan idea jika dipilih sebagai Ahli Parlimen di sini.
"Bagi yang tak dipilih, saya seru semua calon agar terus bantu pengundi Cameron Highlands," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!