Selangor tumpu pelancongan domestik

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

BATU CAVES - Kerajaan Selangor akan memberi tumpuan kepada sektor pelancongan domestik bagi fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun sektor pelancongan sudah dibenar beroperasi, namun aktivitinya masih terhad dan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negera (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, pelancong luar juga dilihat masih berhati-hati dan belum bersedia untuk beraktiviti susulan koronavirus (Covid-19) belum pulih sepenuhnya.

"Walaupun sempadan dah dibuka, tetapi pelancongan luar belum berada dalam keadaan selesa. Mungkin mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk kembali pulih.

"Justeru, kita akan menumpukan kepada pelancong domestik dahulu supaya pasaran tempatan dan sektor terlibat benar-benar dapat digerakkan," katanya pada program penyerahan Rumah Selangorku kepada 29 peneroka Kampung Seri Temenggung baru-baru ini.

Katanya, sektor pelancongan di Selangor sebelum ini banyak disumbangkan melalui program besar yang kemudian disusuli dengan aset pelancongan negeri.

"Seperti sedia maklum pelancongan di Selangor terdiri daripada aktiviti-aktiviti lain antaranya konvokesyen (pendidikan), konsert yang menyumbang kepada sektor pelancongan kita.

"Buat masa ini kita kena tengok jenis acara dan saiznya kerana tak boleh ada acara libatkan jumlah (pengunjung) yang terlalu besar kerana perlu patuh SOP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan aktiviti pelancongan domestik dan rentas negeri dibenarkan semasa PKPP sementara melancong ke luar negara belum dibenarkan.

Antara sektor pelancongan dibenarkan termasuk pameran hasil seni, budaya dan warisan di premis dan fasiliti awam kebudayaan, premis penginapan hotel, syarikat pengendali pelancongan serta pemanduan pemandu pelancong.

Selain itu, operasi Institut Latihan Pelancongan (ILP), program pengalaman homestay Malaysia, aktiviti pelancongan pengembaraan dan aktiviti lasak dan aktiviti selam skuba dan snorkeling turut dibenarkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!