Donnarumma penjaga gol terbaik dunia kata Maldini
PENGARAH teknikal AC Milan, Paolo Maldini menyifatkan penjaga gol kelab berkenaan, Gianluigi Donnarumma sebagai penjaga gol terbaik di dunia hari ini.
Maldini berkata, AC Milan perlu cuba untuk mengekalkan khidmat Donnarumma bersama kelab berkenaan jika mahu melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Menurutnya, Donnarumma yang memiliki kontrak sehingga 2021 itu turut menarik minat beberapa kelab gergasi Eropah yang lain seperti Real Madrid, Paris Saint-Germain dan Chelsea.
“Setahu saya, Donnarumma telah menjadi pilihan utama AC Milan sejak debutnya pada 2015 lalu pada usia 16 tahun. Namun masa depannya bersama Milan sering menjadi persoalan.
“Justeru bagi saya, adalah menjadi tugas pengurusan pasukan untuk cuba mengekalkan khidmat Donnarumma yang dilihat mewakili pemain hebat yang dilahirkan daripada akademi bola sepak.
“Lihat sahaja aksi cemerlangnya ketika Milan menewaskan Roma 2-0 di San Siro baru-baru ini. Oleh itu, bagi saya, dia adalah penjaga gol terbaik di dunia buat masa ini,” katanya.
Sementara itu, mengenai masa depannya di Milan Donnarumma berkata, dia sememangnya ada hubungan yang istimewa bersama kelab berkenaan.
Katanya, biarpun kontraknya hanya akan tamat pada 2021, namun dia tetap terkesan dengan khabar berhubung perpindahannya ke pasukan lain.
“Warna Rossoneri kelab ini sememangnya memberikan makna besar kepada saya. Lagi pun, saya sememangnya membesar di sini.
“Oleh itu, saya akan selalu menjadi peminat Milan dan akan sentiasa memberikan yang terbaik apabila memakai jersi ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!