Saman serta merta RM300 untuk enam kesalahan pemandu
SEREMBAN - Saman serta-merta RM300 akan dikeluarkan kepada pemandu yang didapati melakukan enam kesalahan utama sepanjang Ops Selamat Ke-14 Sempena Tahun Baharu Cina 2019 bermula 29 Januari hingga 12 Februari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, enam kesalahan utama itu adalah memandu di lorong kecemasan, melebihi had laju, memotong barisan, memotong garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon ketika memandu.
'Tindakan ini bertujuan mendidik pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan selain menjamin keselamatan di sepanjang musim perayaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat Ke-14 2019 sempena sambutan Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat(R&R) Seremban arah utara di sini, hari ini.
Masih mengekalkan tema sama, 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi', beliau berkata statistik Op Selamat tahun lalu menunjukkan penurunan kes kemalangan maut iaitu 226 kes berbanding 257 (2017).
"Ini menunjukkan usaha polis dan agensi berkaitan lain dalam beri kesedaran kepada masyarakat berkaitan pematuhan undang-undang jalan raya telah memberi impak positif.
"Walaupun statistik kes kemalangan meningkat iaitu 21,041 kes tahun lalu berbanding 20,752(2017), tapi ia seiring dengan pertambahan jumlah kenderaan di seluruh negara.
"Bagi tindakan saman pula catat peningkatan 130,155 saman yang mana sebanyak 385,547 saman dikeluarkan tahun lalu berbanding 255,392 tahun sebelumnya,"
Beliau berkata, analisis terhadap Op Selamat sebelum ini mendapati, sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan pentingkan diri sendiri jadi punca peningkatan kemalangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!