Tentera, polis bantuan curi lembu disambung direman
JOHOR BAHRU - Lapan lelaki termasuk seorang pegawai dan tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan kerana mencuri 23 ekor lembu menggunakan senapang patah disambung reman tiga hari sehingga esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan sedang disiapkan dan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan tidak lama lagi.
"Siasatan mendapati mereka sudah beberapa kali melakukan kegiatan ini. Mulanya dengan mencuri tiga ekor lembu, kemudian 11 ekor dan kali ketiga sebanyak tiga ekor.
"Kita masih menyiasat motif mereka mencuri lembu sama ada untuk tambah pendapatan atau untuk tabung. Mereka menjual daging lembu pada harga RM18 sekilo," katanya dalam sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan semua suspek yang berusia 37 hingga 48 tahun itu di lokasi berbeza antara jam 1 pagi hingga 7.30 pagi pada 26 Jun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai, anggota ATM ditahan curi lembu
Selain tiga anggota ATM, turut diberkas dua anggota polis bantuan, seorang penjawat awam dan seorang orang awam, mereka ditahan dalam serbuan di lapan lokasi berasingan di Kulai, Pontian, Skudai dan Johor Bharu.
Mereka disyaki mencuri 23 ekor lembu yang dilaporkan hilang pada 16 Mei dan 24 Jun lalu di lokasi berbeza.
Hasil serbuan itu selaras senapang patah, sebuah kenderaan pacuan empat roda, 76 butir peluru senapang patah, dua kelongsong peluru senapang patah, dua bilah kapak serta empat bilah pisau kecil, empat bilah mata pisau serta tiga bilah parang dirampas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!