KKM merafak sembah titah Sultan Johor biayai kos baik pulih hospital

Dr Adham (dua dari kanan) menyantuni seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Chini.
Dr Adham (dua dari kanan) menyantuni seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Chini.
A
A
A

PEKAN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merafak sembah penghargaan atas kesudian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membiayai kos baik pulih sebahagian bangunan Hospital Sultanah Aminah Johor yang terbabit dalam kebakaran, Ahad lalu

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya menyambut baik perkenan baginda untuk membantu mempercepatkan baik pulih bangunan tersebut, yang dikatakan akan mengambil masa yang lama sekiranya menunggu proses daripada KKM.

Sultan Ibrahim menerusi hantaran Facebook beliau dipetik sebagai berkata, kos tersebut akan dibiayai Yayasan Sultan Johor.

"Titah Tuanku agar tiga pihak iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KKM untuk menyiapkan pelan yang terbaik bagi membaik pulih hospital itu akan dilaksanakan dan disiapkan secepat mungkin.

"Saya dah lawat hospital tersebut dan mendapati ada beberapa perkara yang perlu dibuat terutama sekali kompleks yang terbakar itu melibatkan sebuah wad wanita," katanya pada sidang akhbar di Klinik Kesihatan Chini di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KKM akan memperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi membina sebuah pusat hemodialisis di Klinik Kesihatan Chini untuk kemudahan penduduk di kawasan terlibat.

Pusat tersebut katanya, akan menempatkan sekurang-kurangnya 10 mesin yang akan memanfaatkan dan memberikan keselesaan kepada pesakit selain membina sebuah pusat air terawat bagi keperluan pusat hemodialisis berkenaan.

"Pemilihan kawasan ini dibuat kerana dari segi tapak ia sesuai dan mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, ia masih di peringkat persediaan proses-proses tender dan sekiranya tiada banyak masalah, boleh dilaksana segera," katanya.

Terdahulu, pusat hemodialisis terdekat dengan Bandar Dara Chini terletak di Kuantan dan Sungai Lembing dengan jarak masing-masing kira-kira 79 dan 110 kilometer.

Dalam rangka lawatannya ke beberapa klinik kesihatan daerah ini, Dr Adham berkata, ia sebagai persediaan KKM memberikan perkhidmatan ke arah lebih baik terutama sistem pendawaian bangunan agar kejadian kebakaran yang berlaku seperti di Hospital Sultanah Aminah tidak berulang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!