Amy Kwan tumpu perhatian untuk pulih semula

Amy Kwan
Amy Kwan
A
A
A

ATLET gimnastik, Amy Kwan Dict Weng memberi tumpuan memulihkan semula penampilannya ketika skuad gimnastik berirama negara meneruskan latihan mereka di gimnasium Majlis Sukan Negara (MSN) pada 5 Julai.

Olahragawati Terbaik Tahun 2018 itu mendedahkan bahawa cabaran utama dia buat masa kini ialah untuk mengekalkan keadaan fizikalnya dalam kedudukan terbaik serta mengelak daripada berlaku sebarang kecederaan semasa latihan minggu depan.

“Sebelum ini saya mengimpikan untuk kembali berlatih, menari mengikut irama jadi saya benar-benar berterima kasih kerana atlit boleh menyambung semula latihan normal selepas menerima lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Kwan yang juga Olahragawati Selangor Tahun 2018 berkata, dia berhasrat untuk menempa lebih banyak lagi kejayaan pada masa depan setelah mencapai banyak keputusan positif dalam acara antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.

Antara pencapaian terbaik diperoleh ahli gimnastik berusia 25 tahun ini ialah pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018, selain mendapat pingat perak pada Kejohanan Asia 2018 di Kuala Lumpur.

“Apabila anda mencapai usia 25 tahun dan perlu mengekalkan fleksibiliti badan, itu adalah cabaran pertama dan yang keduanya ialah stamina, tetapi saya akan menjalani latihan intensif berdasarkan kepada keadaan badan saya.

"Saya tidak mahu terlalu berlebihan terhadap diri saya dan pada masa yang sama saya tidak mahu mudah menyerah kalah,” tambah ahli Sukan Olimpik Wanita Terbaik 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!