Guna logo Sinar Harian fitnah NGO
KOTA BHARU - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis selepas mendakwa difitnah oleh individu yang menggunakan logo rasmi akhbar Sinar Harian lalu menyebarkannya di laman sosial serta aplikasi whatsApp.
Pertubuhan Ayahanda Anakanda Malaysia (PAAK) membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini pada jam 10 pagi, hari ini.
Presidennya, Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri berkata, beliau menerima pesanan whatsApp daripada seorang rakan yang memberitahu gambarnya sebagai presiden persatuan tersebut diletakkan bersama logo rasmi Sinar Harian berserta kata-kata fitnah oleh individu tidak bertanggungjawab yang kemudian menyebarkannya di laman sosial.
Katanya, beliau berasa malu terhadap tuduhan tidak berasas yang disebarkan itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap individu berkenaan.
“Hari ini saya membuat laporan polis kerana fitnah ini dipercayai bermotif menjatuhkan dan merosakkan pertubuhan serta imej saya sebagai presiden.
“Saya juga akan menghubungi pihak pengurusan Sinar Harian berhubung perkara ini kerana individu itu menggunakan logo rasmi syarikat media tersebut untuk menyebar perkara tidak benar,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata, laporan polis dibuat bertujuan membersihkan nama dan pertubuhan itu selain mahu polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang berkenaan supaya tidak sewenang-wenangnya memfitnah dirinya sebagai presiden persatuan itu.
“Persatuan ini ditubuhkan pada tahun 2015 dan setakat ini seramai 58,000 ahli yang berdaftar di seluruh negara.
“Jadi, amat penting untuk menjaga dan memelihara nama baik persatuan serta ahli-ahlinya. Kami mahu pihak polis ambil tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!