Wawasan 2020 berubah jadi was-was 2020
ESOK kita akan melangkah ke tarikh 1 Julai 2020. Ini bermakna kalendar tahun 2020 sudah dimamah separuh perjalanan. Masa sesungguhnya beredar dengan pantas tanpa kita sedari.
Apabila kita mengimbas kembali detik-detik sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, perasaan tentunya sedih.
Bagi rakyat Malaysia, ingatan kita tentunya masih segar pada bulan Februari apabila politik negara digemparkan dengan ranapnya kerajaan Pakatan Harapan yang hanya bertahan 22 bulan.
Pembentukan kerajaan baharu tanpa melalui Pilihan Raya Umum itu pasti terpahat dalam lipatan sejarah politik Malaysia sampai bila-bila.
Ketika pimpinan kerajaan baharu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan dalam keadaan goyah, pada awal Mac, negara kita pula diserang virus berbisa yang ditakuti seluruh dunia iaitu koronavirus (Covid-19).
Namun berbanding dengan negara-negara lain, kita seharusnya berasa bersyukur kerana jumlah kes dan kematian akibat Covid-19 dalam negara kita tidaklah terlalu serius.
Biarpun jumlah kes belum mencecah angka 9,000 dan jumlah mangsa kematian sehingga hari ini masih kekal 121 orang, tetapi ia sudah cukup mengganggu rutin hidup kita bahkan menjejaskan aktiviti ekonomi negara.
Wawasan 2020 yang menjadi ilham Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berteknologi tinggi akhirnya tinggal impian.
Kini kita bukan sahaja hilang Wawasan 2020, malahan tahun 2020 yang masih tinggal enam bulan lagi mengundang kita suatu perasaan was-was.
Kita was-was apakah Muhyiddin mampu mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sehingga akhir tahun ini?
Begitu juga dengan Covid-19 kerana ada yang was-was apakah ia akan kembali ketika kita rasa sudah selesa?
Tahun 2020 nampaknya adalah tahun mimpi ngeri kepada semua orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!