Debaran isteri petanda suami temui ajal

Rosmaliza menunjukkan gambar Allahyarham suaminya.
Rosmaliza menunjukkan gambar Allahyarham suaminya.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang isteri kepada salah seorang mangsa lemas tidak menyangka debaran yang dialaminya sejak beberapa hari lalu adalah petanda beliau akan kehilangan suami tercinta dalam kejadian bot karam dibadai ribut di perairan Kemasin di sini malam tadi.

Mohd Syafizan Daud, 43, dari Kampung Padang To' La itu antara empat mangsa yang ditemui meninggal dunia dalam kejadian tersebut malam tadi.

Rosmaliza Rosdin, 42, berkata, suaminya beria-ria untuk pergi mencandat sotong bersama rakan-rakan memandangkan mereka telah merancang aktiviti tersebut sejak seminggu yang lalu.

"Sebelum ini saya ada merayu kepada arwah supaya dia tidak pergi. Tapi dia berdegil juga untuk pergi bersama kawan-kawan sebab sudah seminggu merancang aktiviti tersebut.

"Saya sempat bertemu suami dan bersalam seperti biasa sebelum arwah bertolak. Kali terakhir saya hubungi arwah pada jam 7.35 petang dan dia memaklumkan akan pulang tengah hari, hari ini," ketika ditemui Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Usaha mencari, menyelamat 4 lagi pemancing hilang diteruskan

ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut bot karam dibadai ribut

Menurutnya, beliau mengetahui kejadian itu melalui status aplikasi WhatsApp salah seorang kenalan anaknya.

Mengulas lanjut mengenai debaran yang dialami, Rosmaliza yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Lati, Pasir Mas berkata, beliau melakukan pemeriksaan di hospital kerana risau akan mengalami kesihatan.

"Namun doktor kata tiada apa-apa, rupanya inilah petandanya saya akan kehilangan suami.

"Pada mulanya saya tidak percaya yang suami saya antara yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut namun selepas itu saya reda dengan ketentuan ALLAH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!