PKPP: Ingat, patuhi SOP hindar kluster baharu

Harus sentiasa ingat bahawa perang terhadap Covid-19 belum lagi tamat meskipun sudah ada petanda baik yang menyaksikan negara berada di landasan betul untuk menuju sifar kes. Foto: 123RF
Harus sentiasa ingat bahawa perang terhadap Covid-19 belum lagi tamat meskipun sudah ada petanda baik yang menyaksikan negara berada di landasan betul untuk menuju sifar kes. Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari ini adalah hari terakhir persediaan dilakukan bagi pembukaan lebih banyak sektor sosial yang dibenarkan beroperasi selepas lebih tiga bulan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan sejak 10 Jun, sektor sosial mula dibuka beransur-ansur dengan kelonggaran dan kebebasan diberi kepada rakyat untuk ‘hidup’ dengan amalan kebiasaan baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Selain pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta, mulai esok (1 Julai) juga lebih banyak kelonggaran termasuk membenarkan taman tema beroperasi selain saringan suhu badan dilakukan sekali sahaja di pusat beli-belah.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 54 taman tema termasuklah taman tema air akan beroperasi semula, yang melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja di seluruh negara.

Selain itu, pusat spa, pusat perapian kesihatan atau wellness dan urut kaki, pawagam, teater serta acara secara langsung di dewan tertutup dan juga aktiviti riadah kolam renang turut dibenarkan beroperasi pada 1 Julai.

Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir mulai pada tarikh sama.

Acap kali Ismail Sabri dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan semua pihak supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk memastikan jarakan sosial dipatuhi pada setiap masa dan mengehadkan jumlah pengunjung berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan.

Bagi majlis sosial seperti majlis perkahwinan dan akad nikah pula, jumlah tetamu yang dibenarkan adalah tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa sama ada ia dijalankan di masjid, dewan, rumah ataupun lokasi lain.

Artikel Berkaitan:

Pastinya kita tidak mahu timbul pula kluster kenduri kahwin seperti di Bandar Baru Bangi sebelum ini atau pun kluster taman tema atau apa jua kluster baharu sekalipun maka sebab itulah pentingnya untuk kita mematuhi kawalan kendiri di kala berseronok.

Harus sentiasa ingat bahawa perang terhadap Covid-19 belum lagi tamat meskipun sudah ada petanda baik yang menyaksikan negara berada di landasan betul untuk menuju sifar kes, sekali gus bebas daripada ancaman Covid-19 berdasarkan kes jangkitan yang kembali mencatatkan satu angka semalam.

Semalam tiga kes baharu dilaporkan, yang dua kes merupakan penularan dalam negara manakala satu lagi kes import menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 8,637 kes dengan kebolehjangkitan 182 kes.

Tiada pertambahan kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 121 kes, mewakili 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!