Martial, Rashford 'jelmaan' Yorke dan Cole
BEKAS bintang Manchester United, Dwight Yorke menyifatkan Anthony Martial dan Marcus Rasford sebagai jelmaan dirinya dan Andy Cole yang pernah 'menggerun'kan benteng lawan, suatu ketika dahulu.
Yorke berkata, kedua-dua pemain berkenaan dilihat mampu mengembalikan zaman gemilang United terutamanya muncul juara treble pada musim 1999 lalu.
Malah menurut Yorke, dia melihat kedua-dua pemain berkenaan sudah mula membantuk persefahaman sesama sendiri dan ia nyata perkembangan yang baik buat pasukan.
"Saya dapat lihat keserasian mereka. Sudah tentu kedua-duanya gemar menjaringkan gol dan seperti yang dapat disaksikan pada perlawanan menentang Sheffield United, Rashford nampak tenang melihat Martial meledak dua gol.
"Bagi saya, mereka telah membina keserasian berkenaan selain turut diberikan kepercayaan oleh pengurus untuk mengemudi jentera serangan pasukan; dan mereka melakukannya!
“Martial mengingatkan saya terhadap diri saya dan Thierry Henry kerana dia (Martial) bermula sebagai pemain sayap sebelum beraksi di bahagian tengah," katanya.
Untuk rekod, gandingan Rashford 22 dan Martial 24, nyata memberikan impak hasil kemenangan 3-0 ke atas Sheffield United yang sekali gus menyaksikan Martial menjaringkan hattrik pertamanya buat skuad The Red Devils itu setelah Robin Van Persie melakukannya pada musim 2013 lalu.
Sekali gus menyaksikan kedua-dua pemain berkenaan berkongsi 19 jaringan setiap seorang musim ini dan Yorke meramalkan duo berkenaan akan meneruskan kecemerlangan sehingga ke penghujung musim.
Sementara itu Yorke turut menyifatkan Martial sebagai gandingan terbaik bagi Rashford ketika ini berdasarkan persefahaman baik yang ditunjukkan kedua-dua pemain berkenaan.
Justeru katanya, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer perlu sentiasa memahami dan bijak meletakkan kedua-dua pemain berkenaan dalam setiap perlawanan yang diharungi kelak.
“Kedua-dua pemain ini memiliki kekuatan tersendiri yang mampu mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dan ini satu berita yang baik.
"Tidak cukup dengan itu, di belakang mereka berdua ada Paul Pogba, Bruno Fernandes dan Mason Greenwood untuk menjadikan satu susunan jentera serangan yang hebat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!