Polis Kelantan guna helikopter kesan bot karam

Hasanuddin (kiri) bertanya khabar ahli keluarga yang masih menunggu perkembangan terkini berkaitan empat lagi mangsa belum ditemui.
Hasanuddin (kiri) bertanya khabar ahli keluarga yang masih menunggu perkembangan terkini berkaitan empat lagi mangsa belum ditemui.
A
A
A

BACHOK - Polis Kelantan akan menggunakan khidmat helikopter untuk mengesan kedudukan terkini bot yang karam dipukul ribut di perairan Kemasin malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya telah menghubungi Polis Bukit Aman untuk mendapatkan bantuan segera bagi menghantar aset tersebut.

Menurutnya, sehingga jam 11.30 pagi tadi, pasukan mencari dan penyelamat masih gagal mengesan kedudukan bot berkenaan dan dijangkakan bot tersebut dibawa arus satu kali ganda dari lokasi awal kejadian.

"Kita jangka bot tersebut sudah berubah ke lokasi lain disebabkan tiupan angin. Lokasi asal ialah lokasi 12.6 kilometer dari sini dan kita jangka ia berubah sekali ganda.

"Sekarang ini kita tidak pasti lokasi sebenar sebab pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat menghubungi mereka kerana liputan mereka berada di luar kawasan. Selain sebuah helikopter milik PDRM, pihak maritim juga turut menghantar unit udara untuk operasi SAR.

"Dalam masa yang sama, kita berdoalah semoga mereka selamat dan urusan pencarian dipermudahkan," katanya ketika ditemui di jeti Kuala Kemasin di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasanuddin juga memberitahu, operasi hari ini melibatkan dua pegawai dan 13 anggota Maritim Malaysia, empat anggota Jabatan Perikanan Malaysia dan dua pegawai serta 21 anggota dari Polis Marin.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dijangka tiba di lokasi untuk mengikut perkembangan semasa operasi SAR dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!