Keluar belanja RM2,000 sebulan urus 26 ekor kucing
KUANTAN - Sepasang suami isteri sanggup mengeluarkan belanja kira-kira RM2,000 sebulan bagi memberi makan lebih 26 kucing yang sudah dianggap seperti ‘anak sendiri’.
Nor Fidyawani Saiful Hanif dan Farhan Abu Samah, masing-masing berusia 28 tahun berkata, mereka sangat menyukai kucing dan kebanyakan haiwan belaan hasil dari kucing jalanan termasuk individu yang membuang di depan premis mereka iaitu Hotel Kucing di Kuantan, Pahang.
Nor Fidyawani berkata, dia dan suami mula mengambil kucing jalanan berkenaan lebih dari lima tahun kerana kasihan melihat nasib haiwan itu tidak mendapat makanan sempurna.
"Sejak itu saya bertekad untuk bantu kucing kerana saya juga membesar dengan jumlah kucing yang banyak.
"Ini kerana keluarga memang suka bantu dan selamatkan kucing dari dulu termasuk membawa pulang kucing yang sakit.
"Jadi saya sudah biasa dan terikut-ikut untuk selamatkan kucing walaupun saya sekarang duduk sendiri.
“Saya tidak boleh tengok kucing ini dihalau atau dipukul mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga berasa haiwan itu sudah seperti anak saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Nor Fidyawani minat mendalam terhadap haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW mendorong dia dan suami membuka hotel untuk memudahkan pemilik kucing meletak haiwan peliharaan mereka sekiranya ada tugasan luar daerah.
"Kami membuka Hotel Kucing sejak 2015 dan menawarkan perkhidmatan penjagaan kucing dalam tempoh singkat dan lama termasuk harian.
"Buat masa ini, empat ekor kucing ditempatkan di hotel kami. Kucing ini ditempatkan sejak dua tahun lalu dan pemilik akan bayar bulanan," katanya memberi komitmen sepenuh masa terhadap kucing jagaanya.
Jelasnya, dengan cara itu mereka akan lebih dekat dengan haiwan yang paling manja itu dan dapat membantu kucing jalani kehidupan yang selesa dan sempurna.
"Kalau ditanya pasal baka, di sini banyak kucing campur dan kami tak spesifik tentang baka. Asalkan ia kucing terbiar kami akan bantu.
"Dari segi nama pula, kami gemar panggil dan label ikut perangai dan warna. Contoh Coco, Bun, Fluffy, Tok Baba, Leo dan Labu juga Oyen," katanya.
Ditanya dari segi penjagaan kebersihan, kesihatan setiap kucingnya, Nor Fidyawani berkata, setiap kucing perlu jalani rawatan kesihatan di pusat veterinar untuk vaksin, ubat cacing dan kutu.
"Jika tidak mampu menampung kos penjagaan, digalakkan untuk mandulkan kucing bagi mengelakkan kucing menjadi agresif dan memberontak.
"Selain itu kita dapat cegah kucing membiak yang akhirnya akan menyumbang kepada pembuangan kucing.
"Beri tanggungjawab sepenuhnya untuk bela kucing dalam kawasan rumah, jaga kebersihan rumah dan kebersihan diri kita juga kucing untuk mengelakkan virus. Vaksin pula pastikan lengkap, monitor rutin makan dan minum kucing adakah normal, jika ada selesema, rawat segera," jelasnya.
Menurutnya, di Hotel Kucing, pihaknya menyediakan pendingin hawa selama 24 jam.
"Kami juga memasang penapis udara di setiap sudut untuk memastikan udara bersih dan wajib mencuci rumah, 'vacuum' setiap hari.
"Hotel ini dibuka setiap hari kecuali Ahad dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam," katanya.
Sebelum ini, cerita mengenai kisah suami isteri apabila dikerumuni puluhan kucing semasa si suami sedang baring dan gelagat haiwan cukup manja itu tular di laman sosial hingga ramai netizen kagum dengan mereka itu.
anak anak kami ni
— (@snugdeal3r) June 28, 2020
ni baru nak start ni.. pic.twitter.com/HSpBV6R19s
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!