Penunggang motosikal maut digilis lori
IPOH - Seorang lelaki maut digilis lori selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di KM283.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Simpang Pulai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, A Kalidass, 37, yang berasal dari Taman Sri Rapat di sini, maut di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, polis menerima maklumat awam kejadian melibatkan sebuah motosikal dan lori.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki 125 dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kiri.
“Pada masa sama, datang lori telah melanggar motosikal tersebut lalu terseret ke lorong kecemasan. Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Pemandu lori berusia 38 tahun tidak mengalami kecederaan, namun kenderaan terlibat ditahan bagi tujuan pemeriksaan pihak Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!