Jurujual tidak mengaku salah tipu RM1.15 juta
JOHOR BAHRU - Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, terhadap lima pertuduhan menipu skim pelaburan melibatkan nilai kerugian RM1.15 juta.
Tertuduh, Lau Kah Wing, 24, didakwa melakukan kesalahan tersebut di lima lokasi berasingan di Johor Bahru, antara 24 Jun 2019 hingga 18 Februari lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memperdayakan lima individu hingga menyerahkan sejumlah wang bernilai antara RM160,374 dengan dakwaan boleh menggandakan wang tersebut dan memberi bonus pengisian minyak.
Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syazwan Mohd Salleh.
Majistret, Mohd Zaki Abd Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 bagi setiap pertuduhan.
Dalam pada itu tertuduh bersama seorang penganggur, Kuang Jian Ming, 24, didakwa cuba menipu seorang lelaki di sebuah pasar raya di Johor Bahru pada 18 Jun lalu.
Jiang Ming yang diwakili peguam, Goh Sze Han dibenarkan diikat jamin RM4,500.
Sebutan kes ditetapkan 10 Ogos depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!