Kontroversi Jata Negara: Tolak permohonan maaf, lucut kerakyatan

Lebih 50 pemimpin dan wakil daripada Pemuda UMNO, Pas, MCA, MIC serta tiga NGO di Pasir Gudang membuat laporan di IPD Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini menuntut supaya tindakan tegas diambil terhadap penulis buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia.
Lebih 50 pemimpin dan wakil daripada Pemuda UMNO, Pas, MCA, MIC serta tiga NGO di Pasir Gudang membuat laporan di IPD Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini menuntut supaya tindakan tegas diambil terhadap penulis buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia.
A
A
A

PASIR GUDANG - Pemuda UMNO, Pas, MCA dan MIC serta Johor Volunteer, Pertubuhan Kebajikan Ummah Al-Mustakim dan Gerakan Belia 4B Pasir Gudang menolak permohonan maaf penerbit buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia yang dibuat hari ini.

Parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Pasir Gudang itu yang bergabung membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini jam 1.30 petang ini mahukan penulis buku tersebut dilucutkan kerakyatan dan penerbitan buku tersebut digantung.

Menurut jurucakap mereka, Mohd Khairul Azlan juga Naib Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, hukuman tersebut adalah setimpal kerana kesalahan dilakukan amat serius dan biadab sekali gus akan memberi pengajaran supaya kes sama tidak berulang.

"Kita harap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak berlengah lagi, tindakan perlu dikenakan terhadap penulis, penyunting dan penerbit buku ini di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama (1963) kerana menghina lambang kedaulatan negara.

"Kita tidak mahu perkara seperti ini dipandang ringan, apabila melakukan kesalahan lepas itu mohon maaf. Perlu ada satu tindakan tegas daripada kerajaan," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis.

Buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu menimbulkan kontroversi selepas gambar pada kulit buku terbitannya dikatakan menghina logo Jata Negara dan perkara tersebut tersebar dalam media sosial.

Berdasarkan gambar yang tular itu, lukisan mirip Jata Negara itu memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.

Berikutan itu penerbit buku berkenaan, Chong Ton Sin yang juga pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya memohon maaf pada hari ini dan menyatakan tidak berniat untuk menghina logo Jata Negara dan tidak menyangka perkara itu akan menjadi isu besar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Bahagian Pasir Gudang, Azlan Alias berkata, perbuatan itu boleh merosakkan institusi dan sistem sesebuah negara dan tidak boleh dilepaskan begitu sahaja dengan hanya permohonan maaf.

"Perbuatan ini melibatkan maruah negara, bila ada pihak yang mencalarkan maruah negara, hukuman berat perlu dikenakan. Apatah lagi Jata negara seperti panji negara kita," katanya.

Wakil Pemuda MCA Bahagian Pasir Gudang, Datuk Johnest Wong berkata, apa yang dilakukan adalah satu tindakan provokasi melampau dan perkara seperti itu tidak boleh dijadikan mainan atau bahan parodi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah ketika dihubungi memberitahu, sebanyak tiga laporan diterima hari ini berkenaan perakra itu iaitu di IPD Seri Alam, Balai Polis Pasir Gudang dan Balai Polis Scientex.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!