Bank dijangka putuskan lanjutan moratorium selepas September

Beberapa golongan yang terjejas akibat Covid-19 sehingga kehilangan pekerjaan mungkin diberi moratorium, namun langkah itu tidak akan bersifat menyeluruh.
Beberapa golongan yang terjejas akibat Covid-19 sehingga kehilangan pekerjaan mungkin diberi moratorium, namun langkah itu tidak akan bersifat menyeluruh.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank-bank dijangka memutuskan sama ada akan meneruskan moratorium pembayaran balik pinjaman atau tidak apabila tempoh moratorium sedia ada berakhir September ini, kata penganalisis.

Penganalisis Affin Hwang Capital, Loong Chee Wei berkata, beberapa golongan yang terjejas akibat Covid-19 sehingga kehilangan pekerjaan mungkin diberi moratorium, namun langkah itu tidak akan bersifat menyeluruh.

"Ada yang masih menghadapi kesulitan sehingga kini, oleh itu moratorium yang diberikan harus bersasar,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai Prospek Makro Malaysia dan Unjuran Sektor bagi separuh kedua 2020 hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Lanjutkan tempoh moratorium hingga tahun depan'

Lanjut moratorium kepada pemohon sahaja

Moratorium perlu dilanjutkan, rakyat masih terbeban

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan berkata, pihaknya mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini pada penguncupan 3.5 peratus, dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi disebabkan kebimbangan meningkat mengenai pandemik Covid-19.

Beliau berkata, penguncupan paling ketara dijangka dilihat pada suku kedua tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Namun, kami berpendapat pertumbuhan akan pulih kepada enam peratus tahun depan manakala eksport dijangka meningkat semula kepada tujuh peratus," katanya.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), beliau berkata, Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar semasa hingga akhir 2021 sebelum menormalkannya kembali kepada tiga peratus.

"Ini kerana ekonomi ini telah memperoleh semula kekuatannya dengan kapasiti penuh selepas mengalami kemerosotan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penularan Covid-19," katanya.

Pada masa ini, OPR berada pada 2.0 peratus dan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dijadualkan mengadakan mesyuarat keempat bulan depan.

Mengenai ringgit, Alan berkata, mata wang tempatan dijangka memperoleh semula pergerakan meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) didorong sentimen ekonomi tempatan yang positif.

“Pasaran ini juga akan mencatatkan prestasi lebih baik berbanding AS memandangkan pelabur asing kini berminat untuk melabur dalam pasaran domestik selain kelemahan dolar AS berikutan langkah pengurangan kuantitatif,” katanya.

Kadar faedah semasa AS adalah hampir sifar peratus dan Rizab Persekutuan AS tidak merancang untuk meningkat kadar tersebut sehingga ekonominya menunjukkan tanda-tanda pemulihan pasca-Covid-19.

Bank Dunia sebelum ini mengunjurkan KDNK global menguncup 5.2 peratus tahun ini, kemelesetan global paling buruk sejak berdekad-dekad. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!