Mazlan nafi salah laku pemilihan Bersatu Tebrau
PASIR GUDANG - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang menafikan berlaku salah laku semasa proses pemilihan Bersatu Bahagian Tebrau pada 15 Februari lalu.
Beliau berkata, dakwaan berkenaan adalah fitnah dilakukan pihak yang tidak puas hati disebabkan kalah dalam pemilihan tersebut termasuk mempersoalkan kemenangannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau.
"Tidak wujud salah laku, ini adalah satu fitnah dan persepsi yang sengaja ditimbulkan oleh mereka yang kalah dalam pemilihan. Ini adalah suara orang-orang yang kecewa, kalah dan tidak terpilih.
"Berpada-padalah dalam membuat fitnah. Mereka perlu melihat cermin dan mengukur baju di badan sendiri," katanya mengulas dakwaan berlaku salah laku dan terdapat unsur penipuan semasa pemilihan Bersatu Bahagian Tebrau.
Beliau yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tiga bilik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3, Taman Air Biru di sini yang terbakar hari ini.
Pada 25 Jun lalu, bekas Timbalan Bersatu Bahagian Tebrau, Saifulanuar Yahya bersama lebih 30 ahli bahagian itu mengadakan sidang akhbar mendakwa kemenangan Mazlan adalah tidak sah dan meragukan termasuk jawatan Timbalan dan Naib Ketua Bahagian serta Srikandi dan Armada.
Saifulanuar mendakwa, semasa pemilihan ada pihak mengatur keputusan pemilihan untuk kemenangan pihak tertentu dan susulan itu mereka membuat bantahan tiga kali kepada Lembaga Disiplin dan Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu pada 17, 19 dan 21 Februari lalu.
Dalam pemilihan tersebut Saifulanuar bertanding tiga penjuru untuk jawatan ketua bahagian itu dengan keputusan beliau memperoleh 87 undi, Mazlan (379) dan Norlihan Ariffin (52).
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, adalah mustahil untuk beliau melakukan penipuan kerana menang dengan majoriti agak besar untuk jawatan Ketua bahagian tersebut berbanding dua lawannya.
Pada pemilihan itu katanya, beliau menang hampir 80 peratus majoriti undi dan jika menang tipis dengan 4 atau 10 peratus undi, maka kemenangannya boleh dipertikaikan serta boleh diragui.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!