Siasatan kematian Muhammad Adib dalam proses akhir: Polis
KUALA LUMPUR - Polis dalam proses akhir melengkapkan siasatan kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebelum ianya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, perkara ini akan diselesaikan dalam tempoh masa yang terdekat.
"Kita akan lengkapkan siasatan seperti mana yang diminta oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya.
"Dalam tempoh terdekat ini, kita akan selesaikan arahan terbabit sebelum membincangkannya semula dengan pihak Peguam Negara," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tiada had tempoh tertentu dalam mengendalikan kes jenayah termasuklah kes membabitkan Muhammad Adib.
Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam kes berlainan, Huzir berkata, kertas siasatan ke atas bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
"Biar pihak Pendakwa Raya yang akan buat keputusan berhubung kes itu," katanya.
Pada 23 Jun lalu, Hannah dipanggil ke Bukit Aman berhubung catatan yang dimuat naik menerusi laman sosial baru-baru ini, antara lain didakwa mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!