Penyeludup petrol terjun Sungai Golok

Seorang lelaki meninggalkan kereta yang membawa 420 liter petrol sebelum bertindak terjun ke Sungai Golok untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA.
Seorang lelaki meninggalkan kereta yang membawa 420 liter petrol sebelum bertindak terjun ke Sungai Golok untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki yang dipercayai cuba menyeludup petrol ke Thailand bertindak terjun ke dalam Sungai Golok selepas menyedari kehadiran Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kejadian di Kampung Tualang di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, lelaki berkenaan sebelum itu meninggalkan kereta jenis Proton Iswara dipandunya yang membawa muatan 420 liter petrol sebelum melarikan diri ke arah Sungai Golok.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan minyak, sepasukan anggota Cawangan Risik PGA7 serta dibantu anggota Strike Force Kompeni A menjalankan rondaan berkereta di lokasi berkenaan.

“Ketika rondaan dilakukan, anggota PGA7 melihat sebuah Proton Iswara berwarna merah dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Tualang menuju ke Jalan Simpangan.

“Selepas menyedari kehadiran polis, pemandu kereta tersebut bertindak melarikan diri ke arah Sungai Golok dan terjun ke sungai itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta menjumpai 16 tong minyak dan turut didapati satu tangki yang diubah suai di belakang bonet kenderaan tersebut.

“16 tong berisi sebanyak 320 liter petrol manakala dalam tangki mengandungi 100 liter petrol.

“Hasil siasatan awal dipercayai suspek cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran melalui Sungai Golok,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua rampasan yang dianggarkan bernilai RM5,709.80 itu dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!