Kanak-kanak lelaki dihanyut arus deras ketika mandi sungai
SUNGAI SIPUT - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Perak di Kampung Loh, Karai di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 2 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Danish Irfan Mohd Baharudin mandi bersama kembar dan kakaknya serta dua kanak-kanak lain sambil ditemani ibu saudaranya.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan dihanyutkan arus deras ketika mandi sebelum hilang.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, maklumat awal diterima mendapati mangsa bersama ahli keluarga yang lain mandi di sungai berhampiran dengan rumah mereka.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan 53 anggota melibat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan Kuala Kangsar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan darat.
“Tiga bot agensi digerakkan bersama bot nelayan dalam mencari mangsa di sepanjang 7 kilometer (KM) bermula lokasi terjatuh hingga ke Jambatan Sultan Iskandar Shah,” katanya ketika ditemui di pos kawalan bomba di Jambatan Victoria di sini.
Menurutnya, operasi pencarian dilakukan dengan kaedah pencarian permukaan dan menyusuri tebing sungai.
Operasi pencarian ditangguh sementara pada jam7 petang dan disambung semula esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!