Hidup dalam keadaan daif, To’ki tetap bahagia bersama isteri
BIARPUN hidup dalam keadaan serba daif, namun penyanyi yang cukup dikenali menerusi Biasan dan Seni Berzaman, To’ki, tidak pernah mengeluh mengenang dugaan hidup.
Sebaliknya, To’ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur tetap merasa bahagia tinggal di sebuah pondok kecil di pinggir hutan Batu 12 Gombak, Selangor sejak setahun lalu bersama isterinya, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48.
Menyifatkan pondok kecil itu tidak ubah seperti syurga buat mereka berdua, To’ki, 53, berkata, pondok itu melindungi mereka berdua daripada panas dan hujan.
“Saya bina pondok ni sejak tiga tahun lalu lagi sebenarnya (tetapi) duduk sini dalam setahun lebih.
“Walaupun nampak macam ini (serba kekurangan) tetapi saya damai bersama isteri,” kata seperti dilaporkan Astro Awani.
Tambah To’ki, biarpun perlu turun ke sungai untuk melepaskan ‘hajat’ dan dalam masa sama menguruskan isteri tercinta yang patah tulang pinggul akibat kemalangan sejak 10 Jun lalu, namun dia tidak mahu mengeluh.
Namun dalam masa sama, dia masih berusaha untuk mengusahakan pemasangan paip bagi membolehkan bekalan air dipam dari sungai berdekatan ke kediamannya bagi memudahkan urusan kehidupan harian.
“Kalau ada bajet saya nak tarik (pam) air dari sungai ke sini (kediaman) selain tangki air dan tandas, selagi tidak ada semua itu, kami terpaksa turun (ke sungai) untuk melepaskan hajat,” katanya.
Tidak gemar berkongsi perihal kehidupan peribadinya bagi mengelakkan timbul prasangka, To’ki berkata, pondok itu juga menjadi ruang buatnya berkarya.
Malah To’ki juga masih memenuhi undangan nyanyian di restoran mahupun majlis kecil bagi menampung kehidupan.
“Sekarang ini pendapatan saya bergantung kepada jemputan menyanyi di restoran atau majlis-majlis kecil sahaja.
“Sekiranya ada rezeki saya memang mahu kembali aktif di persada seni untuk menampung kos sara hidup bersama isteri,” ujarnya yang kini muncul dengan dua single bertajuk Bukan Sekali dan Bayyati.
(Sumber: Astro Awani)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!