Langkah tegas bendung PATI
Masalah pencerobohan imigran dan jenayah rentas sempadan merupakan isu yang dihadapi semua negara di dunia tidak terkecuali Amerika Syarikat (AS).
Operasi penguatkuasaan di sempadan negara itu dikawal oleh pasukan Perlindungan Sempadan dan Kastam AS (CBP) selain pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS dengan kira-kira 39,000 anggota.
Walaupun mempunyai pasukan penguatkuasa di sempadan yang paling hebat dengan peralatan canggih, namun ribuan imigran khususnya di sempadan AS-Mexico masih berjaya menceroboh masuk ke negara itu setiap tahun. Sepanjang dua tahun lalu, seramai 688,375 imigran berjaya ditahan manakala sehingga tahun 2017 dipercayai terdapat 10.5 juta pendatang asing tanpa dokumen tinggal di AS.
Sejak Mac lalu, pentadbiran Presiden Trump mengambil langkah lebih tegas apabila mengarahkan imigran yang dikesan cuba menceroboh sempadan diusir terus tanpa ditahan berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Justeru, langkah kerajaan Malaysia mengaktifkan Operasi (Ops) Benteng secara besar-besaran sejak Mei lalu bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu mendapat sokongan semua pihak.
Operasi di bawah Pasukan Bertindak Kebangsaan melibatkan kerjasama tentera, polis, Maritim, Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan juga bagi memburu tekong serta ahli sindiket berhubung PATI.
Perlu dijelaskan, Ops Benteng hanya memberi tumpuan bagi mengekang pendatang yang cuba masuk secara haram dan bukan menangkap warga asing iaitu pekerja yang mempunyai dokumen sah. Melainkan jika mereka mempunyai kesalahan berkaitan imigresen.
Ini berikutan timbul salah faham oleh pertubuhan berkaitan hak asasi manusia tempatan yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap pekerja asing di sini.
Sejak dilaksanakan, seramai 1,115 PATI dan 204 tekong ditahan selain 76 individu dipercayai penyeludup dan 36 buah kapal. Nilai rampasan berkaitan penyeludupan pula mencecah RM1.5 juta.
Sebanyak 68 lokasi sekatan jalan raya diadakan dan telah memeriksa 43,207 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.
Operasi
Selain itu, operasi turut memantau kegiatan pelanunan di laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing.
Sebenarnya, Ops Benteng adalah kesinambungan daripada operasi-operasi dengan tujuan sama yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini, cuma penugasannya diperkemaskan.
Kepesatan ekonomi negara pada awal tahun 1990 misalnya mula menyaksikan kebanjiran pekerja asing ke negara ini khususnya dari negara jiran Indonesia, Thailand dan Filipina.
Justeru, bagi mengawal kebanjiran ini pada masa itu, kerajaan pada tahun 1992 telah melaksanakan Ops Nyah iaitu kawalan di sempadan selain operasi tertentu.
Ia disusuli dengan Ops Nyah II iaitu tangkapan dan pengusiran warga asing yang telah berada di sini. Kerajaan juga melaksanakan eksesais serupa yang dikenali sebagai Ops Tayang di Sabah.
Pelaksanaan Ops Nyah dan Ops Nyah II misalnya menunjukkan keberkesanan yang besar selain bertambah baik dari masa ke masa. Sepanjang operasi ini antara tahun 1992 hingga 2000, kira-kira 2.1 juta pendatang asing telah direkodkan pihak Jabatan Imigresen.
Daripada jumlah tersebut, seramai 88,720 ditahan sepanjang Ops Nyah manakala 302,182 pada Ops Nyah II. Proses pemutihan pekerja asing pula telah merekodkan seramai 483,784 orang pada tahun 1992, 554,941 (1996) dan 413,812 (1997).
Sejak 1992 pula, pihak tentera turut melaksanakan Ops Wawasan dan Ops Merpati bagi mengawal kawasan sempadan negara khususnya di Kedah, Perlis dan Kelantan.
Asas kedatangan PATI adalah kerana faktor ekonomi selain mendapatkan perlindungan yang lebih baik berbanding di negara asal. Isu itu akan berterusan disebabkan ada tarikan untuk mereka ke sini. Justeru, perbatasan sempadan perlu dikawal seketat-ketatnya.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!