PAP buat kejutan tanding semua kerusi

Hsien Loong (tengah) tiba di pusat penamaan calon bagi mengemukakan kertas pencalonan beliau untuk bertanding di GRC Ang Mo Kio. - Foto AFP
Hsien Loong (tengah) tiba di pusat penamaan calon bagi mengemukakan kertas pencalonan beliau untuk bertanding di GRC Ang Mo Kio. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Hari Penamaan Calon hari ini menyaksikan 192 calon daripada 11 parti politik mengemukakan kertas pencalonan untuk bertanding bagi merebut 93 kerusi di setiap 17 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 14 Kawasan Undi Perseorangan (SMC) pada Pilihan Raya Umum Singapura 2020 (GE2020) pada 10 Julai depan.

Parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) menjadi parti tunggal yang menyaksikan calonnya bertanding untuk setiap kerusi.

Terdapat beberapa kejutan ketika proses itu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat mengumumkan beliau meninggalkan kubu kuatnya di Tampines untuk bersama pasukan PAP di GRC East Coast.

Swee Keat menggantikan bekas Menteri Tenaga Manusia, Lim Swee Say yang bersara daripada dunia politik.

Pasukan beliau dijangka berdepan saingan sengit dengan Parti Pekerja (WP) yang memenangi 45.2 peratus undi pada Pilihan Raya Umum 2011 dan 39.2 peratus undi pada pemilihan 2015.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Desmond Lee juga berpindah dari GRC Jurong untuk bersama pasukan PAP di GRC West Coast yang dipimpin Menteri Komunikasi dan Maklumat, S Iswaran.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong yang merupakan Setiausaha Agung PAP memaklumkan parti yang telah memegang tampuk pemerintahan sejak kemerdekaan pada 1965 itu akan berjuang habis-habisan.

"Kami bertanding di setiap kawasan. Jadi, ia bukan pilihan raya kecil. Ia adalah Pilihan Raya Umum untuk isu paling penting ketika negara sedang berdepan krisis koronavirus (Covid-19). Semua individu perlu memahami ketika mereka menilai undi," katanya di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Deyi.

Artikel Berkaitan:

Ketika disoal sama ada beliau meletakkan sebarang sasaran, Hsien Loong memberitahu, beliau tidak pernah meletakkan sebarang sasaran angka.

"Apabila kotak undi dibuka, anda akan tahu bagaimana keputusan para pengundi," ujarnya lagi.

Difahamkan, tiga Kawasan Undi Perseorangan (SMC) di Bukit Batok, Bukit Panjang dan Punggol West akan mendapat perhatian dalam pemilihan kali ini.

GE2020 akan menyaksikan Hsien Loong memimpin PAP buat kali keempat dan mungkin yang terakhir sebagai Perdana Menteri.

Ketika pemilihan pada 2006 yang pertama kali dipimpin Hsien Loong, PAP berjaya meraih 66.6 peratus undi popular dan jumlah itu menurun kepada 60.1 peratus pada 2011, namun meningkat semula kepada 69.9 peratus pada Pilihan Raya Umum 2015. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!