Bekalan air, elektrik kilang haram dipotong

Bekalan air kilang terbabit turut dipotong apabila premis didapati masih beroperasi meskipun arahan sudah dikeluarkan sebelum ini.
Bekalan air kilang terbabit turut dipotong apabila premis didapati masih beroperasi meskipun arahan sudah dikeluarkan sebelum ini.
A
A
A

KUALA LANGAT – Sebuah kilang memproses sisa aluminium di Jenjarom di sini dikenakan tindakan pemotongan bekalan air dan elektrik selepas didapati mengingkari arahan penutupan operasi oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Yang Dipertua MPKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, pemilik diarah memberhentikan operasi kilang terbabit selepas pemeriksaan dijalankan sebelum ini selepas mendapati ia beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, pemeriksaan di kilang terbabit mendapati terdapat sisa aluminium yang belum diproses dan jongkong aluminium yang siap diproses.

"Hasil semakan mendapati kilang haram tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 70 (13 ) ( C ) Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 kerana mendirikan struktur bangunan besi tanpa kelulusan bertulis daripada MPKL dan Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dari MPKL.

"MPKL mengeluarkan notis pemberitahuan di bawah UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 2007 kepada pemilik," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kilang memproses sisa aluminium yang dikenakan tindakan kerana beroperasi secara haram.
Kilang memproses sisa aluminium yang dikenakan tindakan kerana beroperasi secara haram.

Mohamad Zain berkata, tindakan pemotongan bekalan air dan elektrik yang dikenakan serta-merta dilaksanakan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengurusan Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, pihak MPKL akan sentiasa memantau dan menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah Kuala Langat bebas daripada aktiviti kilang haram.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik gagal mematuhi peraturan sedia ada.

"Semua pengusaha kilang diingatkan agar mendapatkan lesen perniagaan terlebih dahulu sebelum menjalankan perusahaan kilang.

"Jika didapati bersalah, tindakan kompaun akan dikenakan dan kes dibawa ke mahkamah bagi mereka yang berdegil," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!