Kerajaan tidak jadi laksana saman, kompaun CRS hari ini
SHAH ALAM- [LAPORAN KHAS] Kerajaan menangguhkan penguatkuasaan saman dan kompaun ke atas pemandu kenderaan persendirian yang tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang sepatutnya bermula hari ini ke satu tarikh lain yang akan ditentukan kelak.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penangguhan saman dan kompaun itu susulan penularan pandemik Covid-19 selain kerajaan mahu memberi lebih ruang kepada orang ramai untuk membuat persediaan.
“Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) masih meneruskan peraturan ini, atas dasar keselamatan kanak-kanak yang menaiki kenderaan. Aktiviti advokasi akan diteruskan.
“Begitu juga dengan aktiviti penguatkuasaan yang akan fokus kepada aspek mendidik, menasihat dan mengingatkan orang ramai mengenai pentingnya penggunaan CRS,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian semalam.
MOT pada 1 Januari lalu menguatkuasakan pelaksanaan CRS dalam setiap kereta persendirian, namun pengeluaran saman atau kompaun ditangguhkan untuk enam bulan iaitu sehingga 30 Jun (semalam) bagi memastikan industri dapat menyediakan bekalan CRS yang mencukupi.
“Namun, susulan penularan pandemik Covid-19 dan bagi memberi lebih ruang kepada orang ramai membuat persediaan, maka aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan berasaskan prinsip mendidik, advokasi dan memberi nasihat terlebih dahulu sehingga ke satu masa yang akan ditentukan kelak.
“Apa yang utama, rakyat benar-benar faham mengenai pentingnya CRS dan kaedah penggunaannya yang betul. Pendirian MOT adalah jelas bahawa soal keselamatan jalan raya rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan dan dipandang serius,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, kementerian akan terus bekerjasama dengan agensi lain di bawahnya seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bukan hanya melibatkan penggunaan CRS tetapi merangkumi isu-isu lain berkaitan peraturan dan keselamatan jalan raya.
“Bila disebut penguatkuasaan, maka ramai yang menganggap ia sebagai bentuk pengeluaran saman semata-mata. Ada juga yang menggambarkan persepsi kononnya rakyat dibebani dengan peraturan yang merumitkan.
“Sedangkan aktiviti penguatkuasaan adalah bertujuan memastikan masyarakat sentiasa patuh pada undang-undang dan peraturan keselamatan jalan raya.
“Malah, memberi nasihat kepada pengguna jalan raya juga merupakan antara kaedah penguatkuasaan. Apa yang penting, MOT menggalakkan orang ramai khususnya ibu bapa menggunakan CRS bagi menjaga keselamatan anak-anak mereka ketika menggunakan jalan raya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!