Isu pekerja asing buat ahli akademik 'garu kepala'

Dari kiri; Azlan Shah, Shamsuddin, Madeline dan Abdul Halim pada Wacana Sinar ke-177 yang membincangkan tajuk Cabaran Ekonomi Malaysia Tanpa Pekerja Asing di Kumpulan Karangkraf malam tadi.
Dari kiri; Azlan Shah, Shamsuddin, Madeline dan Abdul Halim pada Wacana Sinar ke-177 yang membincangkan tajuk Cabaran Ekonomi Malaysia Tanpa Pekerja Asing di Kumpulan Karangkraf malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu pekerja asing bukan isu baharu di negara ini sebaliknya mula menarik perhatian banyak pihak sejak Pelan Rancangan Malaysia Ke-8 dilancarkan.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Madeline Berma berkata, menjadi satu persoalan mengapa isu itu terus dibicarakan selepas 20 tahun berlalu seolah-olah tiada sebarang usaha mengatasinya.

Beliau menyifatkan keadaan itu juga seolah-olah tiada kemahuan untuk menyelesaikan masalah berkenaan yang terus berlarutan sehingga ke hari ini.

"Bagaimanapun, kehadiran Covid-19 membuka ruang baharu sehingga memaksa kita memikirkan semula struktur ekonomi Malaysia.

"Selagi ekonomi kita masih lagi bergantung kepada buruh murahan, isu pekerja asing tidak akan selesai," katanya pada Wacana Sinar ke-177 bertajuk Cabaran Ekonomi Malaysia Tanpa Pekerja Asing di Kumpulan Karangkraf di sini malam tadi.

Profesor Madya Dr Madeline Berma
Profesor Madya Dr Madeline Berma

Wacana dihoskan moderator, Azlan Shah Nabees Khan itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor.

Dalam pada itu, Madeline berkata, menurut kajian Bank Negara Malaysia, banyak pekerjaan baharu ditawarkan di negara ini namun diambil alih pekerja asing menyebabkan ahli akademik 'garu kepala'.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pada peringkat awalnya pekerjaan baharu yang ditawarkan itu banyak diisi oleh tenaga pekerja tempatan, namun keadaan berubah dalam tempoh lima tahun berikutnya.

"Ia menunjukkan dua perkara iaitu satu kita tidak berubah, sektor ekonomi kita tidak berubah jauh daripada apa yang kita lalui maka sekarang kita lebih berminat untuk mengambil pekerja asing.

"Kita lupa masalah permintaan dan penawaran buruh tidak diselesaikan. Menariknya (berdasarkan kajian beliau) sekitar 30,000 orang dari Sarawak berhijrah ke Johor dan bekerja di Singapura.

"Rakyat Malaysia sebenarnya tidak sangat memilih pekerjaan tetapi mereka sanggup pergi ke Singapura kerana upah yang diterima lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu berbeza jika mereka bekerja di Malaysia berdasarkan upah dan keselesaan diterima oleh mereka termasuk beberapa faktor lain hijrah berlaku.

Madeline berkata, selain imej, polisi kerajaan dan kemahuan politik juga penting dan itu tidak lagi disebut mengenai 'laluan tikus' dalam mengatasi masalah kemasukan pekerja asing ke negara ini.

"Jadi Covid-19 bukan hanya menyedarkan kita tetapi memaksa untuk memikirkan struktur ekonomi supaya tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing.

"Perkara kedua ialah bagaimana kita boleh memulihkan ekonomi dan memperkukuhkan lagi sumber manusia, bakat kemahiran kerana sudah melabur terlalu banyak kepada golongan terbabit tetapi akhirnya menghantar mereka bekerja ke Singapura, ke Dubai tetapi tidak menyumbang kepada negara.

"Ini keadaan yang susah untuk kita fikirkan semula. Kita perlu mencari (suatu) bisnes model yang baharu dan bukan hanya mengutamakan monopoli profit semata-mata," katanya.

Menurutnya, lebih baik mendapat profit tetapi jangan mengaut keuntungan berlebihan, 'perah' kudrat pekerja asing sehingga tiada yang tinggal untuk pekerja tempatan.

"Sebenarnya pekerja asing pun 'ketawa' kerana kita sudah mula bergantung kepada mereka. Kita khuatir akan sampai satu tahap tidak boleh hidup tanpa mereka.

"Jadi inilah waktu yang terbaik (dalam tempoh pasca Covid-19 untuk) memanfaatkan pekerja tempatan termasuk anak-anak muda yang mempunyai kemahiran yang tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!