Pelindung muka khas untuk si cilik

Najwa Farhana memeriksa pemakaian pelindung muka ke atas seorang kanak-kanak di Tadika International Kids Campus, Ipoh hari ini.
Najwa Farhana memeriksa pemakaian pelindung muka ke atas seorang kanak-kanak di Tadika International Kids Campus, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Tadika International Kids Campus di Jalan Tun Abdul Razak di sini menyediakan pelindung muka atau face shield sebagai perlindungan tambahan khas untuk kanak-kanak sempena pembukaan semula pusat didikan itu hari ini.

Guru, Najwa Farhana Mohd Jafri berkata, pelindung muka berkenaan disediakan sendiri oleh tenaga pengajar sejak dua minggu lalu bagi memastikan keselamatan lebih terjamin.

Menurutnya, dengan pemakaian pelindung muka, kanak-kanak berasa lebih selesa dan mudah untuk berkomunikasi sepanjang sesi pembelajaran.

"Face shield ini memang kami sediakan khas untuk kanak-kanak di tadika ini, selepas selesai pemeriksaan suhu dan saringan gejala di pintu masuk, mereka akan dipakaikan face shield sebelum dibenarkan masuk ke ruangan belajar.

"Selain memberi perlindungan yang lebih baik, face shield juga boleh diulang guna, kami hanya perlu lakukan sanitasi setiap kali selesai digunakan," katanya ketika ditemui di sini.

Pemakaian pelindung muka dan penjarakan sosial antara SOP yang perlu dipatuhi pengurusan tadika yang dibenarkan beroperasi semula bermula hari ini.
Pemakaian pelindung muka dan penjarakan sosial antara SOP yang perlu dipatuhi pengurusan tadika yang dibenarkan beroperasi semula bermula hari ini.

Beliau berkata, hari pertama operasi hari ini adalah terkawal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan 28 kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun.

Katanya, setiap ibu bapa atau penjaga yang menghantar perlu mengimbas kod QR dan wajib mengisi borang disediakan Jabatan Pendidikan dan Kementerian Kesihatan bagi memudahkan pihaknya menghubungi ahli keluarga sekiranya berlaku sebarang tanda-tanda tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

"Kita akui pada awalnya ada kalangan ibu bapa yang masih takut untuk menghantar anak mereka, tetapi selepas kami tunjukkan proses sanitasi dan langkah pematuhan di tadika ini, mereka jadi yakin dan memberi kepercayaan sepenuhnya.

"Jadi untuk minggu pertama ini, pihak tadika membuat orientasi berkenaan penjarakan sosial dan menggunakan pendekatan pembelajaran secara kreatif berkaitan wabak koronavirus (Covid-19) seperti membuat motor halus dan kolaj agar mereka dapat memahami lebih jelas apa yang dimaksudkan dengan Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Nur Amira Zakaria, 35, berkata, dia mengambil keputusan menghantar semula tiga anak lelakinya berusia antara 4 hingga 6 tahun tahun ke tadika itu selepas meyakini pematuhan SOP dibuat.

Nur Amira melihat anaknya dipakaikan alat pelindung muka sebelum dibenarkan masuk ke dalam tadika.
Nur Amira melihat anaknya dipakaikan alat pelindung muka sebelum dibenarkan masuk ke dalam tadika.

Katanya, pengurusan tadika mengemas kini segala maklumat dan penjelasan berhubung pengoperasian semula pusat itu secara jelas di dalam kumpulan WhatsApp sejak dua minggu lalu.

"Kebenaran diberikan kerajaan memang memberi kelegaan kepada ibu bapa seperti saya yang bekerja, dalam masa sama saya berpuas hati dengan tahap pematuhan garis panduan dibuat membuatkan saya yakin untuk menghantar semula mereka di sini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!