Derma ke masjid dengan e-dompet
KUALA LUMPUR - Touch and Go (TnG) Digital Sdn Bhd akan menjalin usaha sama dengan Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, bagi membolehkan orang ramai menghulurkan sumbangan serta derma menggunakan TnG e-dompet.
Ketua Pegawai Eksekutif TnG Digital, Syahrunizam Samsudin berkata, jemaah masjid kini boleh menghulurkan sumbangan serta derma dengan hanya menekan butang kod Quick Response (QR) pada telefon pintar mereka.
"TnG Digital mahu menjadikan teknologi lebih inklusif dan membantu komuniti di Kampung Kerinchi menerusi platform yang mudah dan selamat," katanya ketika merasmikan penggunaan e-dompet TnG, di sini hari ini.
Syahrunizam berkata, Masjid Ar-Rahah ialah masjid pertama di Lembah Pantai yang menggunakan TnG e-dompet, dan penggunaan QR di masjid ini akan membuka peluang kepada masjid-masjid lain di seluruh negara untuk menggunakan teknologi yang sama bagi membantu menyelaraskan operasi harian serta kutipan derma.
"Setiap sumbangan sama ada kecil atau besar, adalah sangat bermakna. Kami berharap melalui penggunaan teknologi, kutipan derma kini mudah dan selamat," katanya.
Kerjasama ini juga menandakan bermulanya kerjasama program selama setahun yang merangkumi kelas untuk golongan remaja yang dinamakan Generasi 13, program kemasyarakatan dan gotong-royong serta e-keusahawanan.
Turut hadir Ahli Parlimen Lembah, Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!