311 Tabika Kemas di NS dibuka hari ini

Halija (berdiri, belakang) melihat Pemaju Masyarakat Tabika Kemas Taman Zaitun Indah, Siti Aisyah Zulkifli memberi tunjuk ajar kepada seorang murid.
Halija (berdiri, belakang) melihat Pemaju Masyarakat Tabika Kemas Taman Zaitun Indah, Siti Aisyah Zulkifli memberi tunjuk ajar kepada seorang murid.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 311 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Negeri Sembilan dibuka hari ini.

Penolong Pengarah Kanan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas Negeri Sembilan, Halija Md Talib berkata, sebanyak 167 buah Tabika lagi akan dibuka pada 15 Julai ini.

“Kita buka secara berperingkat dan semua ibu bapa akan diberi taklimat terlebih dahulu berkenaan perjalanan sesi persekolahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Mereka juga perlu mengisi borang akuan membenarkan anak ke sekolah. Kita faham, ada yang masih risau tentang SOP dan memilih untuk tunggu dan lihat dahulu. Kita tak paksa, terpulang kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa melawat sesi persekolahan hari pertama di Tabika Kemas Taman Zaitun Indah di sini hari ini.

Pemaju Masyarakat Tabika Kemas Taman Zaitun Indah, Siti Aisyah Zulkifli memulakan sesi PdP pada hari pertama sesi persekolahan dibuka hari ini.
Pemaju Masyarakat Tabika Kemas Taman Zaitun Indah, Siti Aisyah Zulkifli memulakan sesi PdP pada hari pertama sesi persekolahan dibuka hari ini.

Menurutnya, berikutan jumlah kehadiran murid dihadkan bergantung kepada kapasiti bilik darjah, keutamaan akan diberi kepada kanak-kanak berusia 6 tahun memandangkan mereka akan mula ke sekolah rendah pada tahun depan.

Selain itu katanya, keutamaan turut diberi kepada murid yang ibu bapanya bekerja di barisan hadapan dan murid yang kedua ibu bapanya sudah perlu pergi bekerja seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

"Jika Tabika itu mempunyai jumlah murid yang ramai kita akan buat sistem giliran dan ada yang perlu ke sekolah pada sesi petang.

"Yang pastinya kita mematuhi SOP ditetapkan dan beri perhatian soal keselamatan dan kesihatan murid," katanya.

Sebelum masuk ke dalam kelas, murid dikhendaki membasuh tangan terlebih dahulu.
Sebelum masuk ke dalam kelas, murid dikhendaki membasuh tangan terlebih dahulu.

Sementara itu pemerhatian Sinar Harian mendapati, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Tabika itu berjalan lancar, namun kurang meriah kerana kehadiran murid yang dihadkan pada satu masa.

Difahamkan murid 6 tahun akan mengikuti kelas tiga hari seminggu iaitu Rabu, Khamis dan Jumaat, manakala murid 6 tahun hanya mengikut kelas sehari seminggu dan diletakkan dua kumpulan iaitu pada Isnin dan Selasa.

Dalam pada itu, salah seorang penjaga Muhd Faiz Abd Wahid, 41, berkata, pembukaan sesi persekolahan untuk murid 6 tahun memberi kegembiraan buat anak ketiganya, Auni Fathiah.

"Jam 6.30 pagi lagi dia dah bangun bersiap ke sekolah kerana mahu jumpa kawan-kawan dan cikgu selepas tiga bulan duduk di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Cuma dia pelik bila tengok abang dia tidak pergi ke sekolah. Tapi bila saya terangkan dia faham," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!