Fasa pertama Banci 2020 bermula minggu depan
IPOH - Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Perak akan melaksanakan fasa pertama Banci Penduduk dan Perumahan (Banci) 2020 kepada 2.6 juta penduduk negeri ini bermula 7 Julai ini.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Perak, Rafliza Ramli berkata, Banci dilakukan sehingga 30 September ini menggunakan kaedah dalam talian dan panggilan telefon.
Menurutnya, pihaknya akan membuat penghantaran poskad kepada anggaran 210,000 kediaman seluruh negeri bermula 6 Julai hingga 24 Julai.
“Rumah yang menerima poskad ini boleh membuat pendaftaran dalam talian dan pengisian soal selidik. Pengisian ini dibuat melalui pautan https://ecensus.mycensus.gov.my.
“Dalam memastikan pengisian dalam talian dioptimumkan sepenuhnya, mana-mana isi rumah yang tidak menerima poskad digalakkan membuat pra pendaftaran untuk membuat pengisian Banci,” katanya.
Katanya lagi, selain kaedah pengisian atas talian, pihaknya akan menghubungi penduduk yang terpilih bagi kaedah telefon.
“Mereka yang akan ditemuramah melalui telefon pernah menjadi responden kami menerusi banci percubaan tahun lalu atau yang pernah menjadi responden tinjauan isi rumah yang pernah dijalankan dahulu.
“Kemas kini maklumat akan dibuat melalui kaedah telefon ini. Kita minta kerjasama orang awam untuk menerima panggilan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia” katanya.
Dalam memudahkan penduduk, Rafliza berkata, lebih 150 anggota akan digerakkan ke semua daerah dalam menyampaikan poskad terbabit.
“Mereka yang berkunjung ke rumah akan dibekalkan ‘vest’ dan topi mempunyai lambang jabatan dan mempunyai kad kuasa sah.
“Mod pembancian dalam talian ini adalah usaha kerajaan meminimumkan risiko pandemik Covid-19 dan meningkatkan keyakinan responden untuk memberikan kerjasama,” katanya.
Banci dilaksanakan 10 tahun sekali dan tahun ini adalah bancian keenam dilaksanakan sejak penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
Data Banci terkini dan komprehensif akan menjadi sumber utama dalam penyediaan rancangan pembangunan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!