Helah tak jadi elak disita!
KAJANG - Tindakan seorang peniaga warga asing mengunci pagar hadapan kedai runcit miliknya bagi mengelakkan tindakan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) gagal apabila premis miliknya itu tetap disita dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Kampung Melaka di sini hari ini.
Bagaimanapun, anggota MPKj kemudiannya berjaya membuka pintu berkenaan dengan menggunakan pemotong dan menyita premis itu selepas mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen.
Selain itu di lokasi sama, seorang peniaga warga asing cuba berdalih dan memberitahu mahu menghubungi seseorang ketika pemeriksaan dijalankan.
Helah tersebut bagaimanapun gagal apabila premis miliknya turut didapati beroperasi tanpa lesen.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKj, Shariman Md Nor berkata, sasaran operasi melibatkan premis tanpa lesen yang dikendalikan warga asing di beberapa kawasan sekitar Hulu Langat di bawah pentadbiran MPKj.
"Pemeriksaan melibatkan empat kedai runcit, dua kedai gunting rambut dan satu kedai menjual kelapa dan kesemuanya diusahakan oleh warga Pakistan dan Bangladesh," katanya pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan di Kampung Melaka, Hulu Langat di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan dijalankan di bawah Undang undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPKj) 2007.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!