Jeffrey Chew direman kes terowong dasar laut

Penyokong Jeffery Chew berkumpul di luar pekarangan Lokap Berpusat Bayan Baru di Georgetown bagi menyatakan solidariti kepada bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang itu.
Penyokong Jeffery Chew berkumpul di luar pekarangan Lokap Berpusat Bayan Baru di Georgetown bagi menyatakan solidariti kepada bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang itu.
A
A
A

GEORGETOWN - Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut di negeri ini.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi di Lokap Berpusat Bayan Baru di sini hari ini.

Peguambela, RSN Rayer yang mewakili Jeffrey Chew berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum itu memohon agar perintah reman ditetapkan selama tujuh hari, bagaimanapun pihaknya membantah.

Selepas mendengar hujahan yang diberikan, katanya, Nur Fadrina membenarkan Jeffrey Chew direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Buat masa ini saya tidak dapat memberi sebarang maklumat berikutan kes tersebut masih dalam siasatan.

"Kami difahamkan penahanan ini ada kaitan dengan satu laporan dibuat ke atas Jeffrey baru-baru ini," katanya ketika ditemui pemberita di luar Lokap Berpusat Bayan Baru di sini hari ini.

Terdahulu, Jeffrey Chew yang juga bekas Timbalan Bendahari DAP Pulau Pinang dibawa ke lokap berkenaan dengan kenderaan SPRM pada jam 1.45 tengah hari tadi dan dibawa keluar pada jam 4 petang.

Sementara itu, beberapa penyokong Jeffery Chew turut berkumpul di luar pekarangan lokap bagi menyatakan solidariti terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, media melaporkan Jeffery Chew ditahan selepas memberi keterangan kira-kira jam 2 petang di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

Pada 4 Mac lalu, SPRM dalam kenyataannya memaklumkan bahawa enam kertas siasatan dibuka berkaitan projek terowong dasar laut tersebut.

SPRM memaklumkan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018.

Sebanyak lima kertas siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Tiga kertas siasatan sudah dikembalikan kepada suruhanjaya ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!