PdP secara dalam talian kurang berkesan
PUTRAJAYA - Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijalankan secara dalam talian sejak penutupan sekolah akibat pandemik koronavirus (Covid-19) didapati kurang berkesan berbanding belajar secara bersemuka dengan guru di sekolah.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin berkata, terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.
"Ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses teknologi komunikasi yang terhad," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti sekiranya situasi itu berterusan.
"Ini akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Beliau berkata, hubungan murid dengan sekolah juga akan terkesan kerana mereka terasing dari suasana persekolahan untuk satu tempoh yang panjang.
"Kami yakin, murid, ibu bapa dan guru menyedari betapa perlunya sekolah dibuka semula bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat," katanya.
Ditanya mengenai prosedur sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 di sekolah, Mohd Radzi berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi langkah yang wajar diambil.
"KKM akan berikan langkah-langkah yang perlu pihak sekolah laksanakan dan akan mematuhi sepenuhnya jika berlaku apa sahaja berkaitan hal tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!