Ibu sangka suara jeritan jiran

Zaleha menunjukkan gambar mangsa yang juga anak sulung daripada empat beradik itu.
Zaleha menunjukkan gambar mangsa yang juga anak sulung daripada empat beradik itu.
A
A
A

MARANG - "Saya dengar jeritan orang minta tolong. Tapi saya memang tidak dapat cam suara anak sendiri," kata Zaleha Muda, 51, ibu kepada mangsa maut dipercayai dibelasah tiga individu dalam kejadian di Kampung Bukit Gasing di sini pagi tadi.

Ibu kepada Ahmad Farid Mohammad, 28, yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu berkata, jeritan itu didengari semasa dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Menurut Zaleha, dia menyangkakan itu suara jeritan jirannya.

Katanya, jeritan yang semakin kuat menyebabkan dia segera keluar untuk periksa sebelum ternampak anaknya berada dalam keadaan lemah dan sedang menahan kesakitan.

"Semasa keluar saya nampak dia (anak) ada di sebelah kereta sebelum terus memapahnya masuk ke dalam rumah.

"Masa itu keadaan dia lemah sangat dan sempat beritahu ada tiga lelaki pukul dengan dua daripada mereka dikenalinya.

"Saya ada juga dengar mereka sebut pasal hutang, tapi saya tak pasti sangat sebab anak tidak pernah bercerita," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Gasing di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Sempat ceritakan pada ibu sebelum rebah

Zaleha berkata, keadaan anaknya semakin lemah sebelum dia menghubungi ambulans.

Katanya, dia dan suami, Mohammad Awang, 52, sempat mengajar anaknya mengucap dan pasukan perubatan yang tiba mengesahkan anaknya sudah tiada.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak tahu apa punca mereka bertindak sedemikian. Saya mahu mereka terlibat dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang mereka lakukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Dris berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dua daripada tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 26 dan 27 tahun itu merupakan warga tempatan dan dikenali mangsa.

"Kami yakin kedua-dua suspek itu bersama seorang lagi rakan mereka masih bersembunyi di daerah ini dan gerakan memburu mereka sedang giat dijalankan," katanya.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!