Tun M dedah sebab Anwar tak layak jadi calon PM

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Anwar gagal untuk mendapat sokongan Melayu dalam tiga pilihan raya sebelum ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Anwar gagal untuk mendapat sokongan Melayu dalam tiga pilihan raya sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi calon Perdana Menteri bagi mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) Plus.

Menurut Perdana Menteri ketujuh itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tidak popular dalam kalangan orang Melayu, selain menyifatkan sokongan tersebut penting untuk mana-mana parti untuk menang dalam pilihan raya.

"Ya, dia tidak begitu popular dengan orang Melayu. Sekarang, telah ditunjukkan bahawa sokongan orang Melayu sangat penting bagi mana-mana parti untuk memenangi pilihan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Mahathir, Anwar disaran bersara untuk selesai kemelut politik

Dr Mahathir bukan lagi anggota PH: Anwar

Dr Mahathir sedia keluar PH Plus


"Kerana dia tidak popular, sebagai pemimpin parti berbilang kaum, dia memerlukan seseorang yang menjadi pemimpin orang Melayu untuk memenangi pilihan raya ini.

"Dengan diri saya sebagai calon Perdana Menteri, saya rasa kita akan mendapat sokongan orang Melayu," kata Dr Mahathir dalam wawancara yang disiarkan CNBC hari ini.

Dr Mahathir mengatakan perkara itu ketika ditanya mengapa beliau tidak akan menyerahkan jawatan pemimpin negara kepada Anwar walaupun mengatakan sebaliknya pada tahun 2019.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Anwar gagal untuk mendapat sokongan Melayu dalam tiga pilihan raya sebelum ini.

Anwar juga jelas beliau, tidak boleh mencalonkan dirinya ketika itu kerana masih berada di dalam penjara.

Anwar dipenjara pada 2015 atas kesalahan meliwat dan dibebaskan pada 16 Mei 2018 selepas memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

"Ketika saya memimpin parti pembangkang, kita berjaya menang dan ini merupakan pencapaian kerana untuk tempoh 60 tahun, Malaysia dipimpin oleh kerajaan daripada parti yang sama.

"Ini pertama kali perubahan (kerajaan) dicapai," tambahnya.

Dr Mahathir dan penyokong Anwar kini terlibat dalam konflik yang dilihat akan terus berpanjangan dalam isu pemilihan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Plus.

Selasa lalu, Pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad mengatakan bahawa pencalonan ketua Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri PH Plus akan dibincangkan oleh Majlis Presiden gabungan itu terdekat ini.

Sementara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga mengatakan bahawa pilihan PH Plus untuk calon Perdana Menteri mesti mendapat persetujuan semua rakan gabungannya itu.

Dalam pada itu, jumlah anggota Parlimen dalam PKR adalah 39, DAP 42 manakala Amanah 11.

Dr Mahathir mendapat sokongan empat bekas anggota Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sembilan anggota Parlimen Warisan yang diketuai oleh Shafie Apdal.

Dr Mahathir turut mengusulkan nama Shafie untuk menjadi Perdana Menteri dalam usaha untuk mengakhiri kebuntuan dan untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Walau bagaimanapun, cadangan itu tidak hanya dikritik oleh mereka yang berpihak kepada Anwar tetapi juga ahli Parlimen pembangkang dari Sabah dan Sarawak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!